PUTRAJAYA: Parti Amanah Negara (Amanah) Wilayah Persekutuan menyuarakan hasrat supaya diberi peluang bertanding di kerusi Parlimen Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), selain turut menyasarkan kawasan Titiwangsa dan Labuan.
Pengerusi Amanah Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berkata ketiga-tiga kawasan itu wajar dirundingkan bersama parti komponen Pakatan Harapan (PH) memandangkan ia bukan kerusi milik gabungan berkenaan ketika ini.
“Insya-Allah, kami akan berusaha supaya kali ini Amanah diberi kepercayaan untuk bertanding di Putrajaya bagi memastikan kemenangan memihak kepada PH,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Amanah Wilayah Persekutuan di sini hari ini.
Ketika ini, kerusi Parlimen Titiwangsa disandang oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani daripada Barisan Nasional (BN) manakala Putrajaya disandang oleh Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin daripada Bersatu.
Kerusi Parlimen Labuan pula disandang Datuk Suhaili Abd Rahman yang memenanginya atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada PRU15, namun kini berstatus Ahli Parlimen Bebas selepas dipecat daripada Bersatu pada 2023 susulan tindakannya menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan.
Khalid ketika mengulas persediaan PRU16 berkata perbincangan mengenai agihan kerusi dijangka bermula selepas selesai beberapa siri Pilihan Raya Negeri (PRN), termasuk di Melaka.
Pada PRU15, Amanah memenangi lapan kerusi Parlimen merangkumi lima di Selangor, dua di Johor dan satu di Melaka.
-- BERNAMA