Maduro dan isteri hilang selepas serangan AS ke atas Venezuela

Nicolas Maduro, dan isterinya yang juga wanita pertama, Cilia Flores, dilaporkan hilang dan lokasi mereka kini tidak diketahui.
WASHINGTON: Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, dan isterinya yang juga wanita pertama, Cilia Flores, dilaporkan hilang dan lokasi mereka kini tidak diketahui oleh kerajaan negara itu, menurut Naib Presiden Venezuela, Delcy Rodríguez, pada Sabtu.
Rodríguez mengesahkan perkara itu dalam satu panggilan telefon ke stesen televisyen kerajaan, Venezolana de Television, sambil menuntut bukti bahawa kedua-dua pemimpin itu masih hidup.
“Kami tidak mengetahui keberadaan Presiden Nicolas Maduro dan Wanita Pertama Cilia Flores. Kami menuntut bukti kehidupan,” katanya.
Sehingga kini, masih tidak jelas siapa yang mengendalikan pentadbiran negara berkenaan, meskipun di bawah undang-undang Venezuela, kuasa sepatutnya dipangku oleh naib presiden.
Amerika Syarikat sebelum ini mengesahkan serangan ke atas wilayah Venezuela, manakala Presiden AS, Donald Trump, mendakwa Maduro telah ditangkap dan diterbangkan keluar dari negara itu.
Rodríguez berkata situasi tersebut telah dijangka lebih awal oleh Maduro, yang menurutnya sudah menyediakan pelan pertahanan ketenteraan sekiranya berlaku pencerobohan.
“Presiden Maduro telah memberi amaran kepada rakyat Venezuela bahawa serangan seperti ini boleh berlaku akibat ketamakan Amerika Syarikat terhadap sumber tenaga,” ujarnya lagi.
Serangan berskala besar itu dilaporkan berlaku pada awal pagi Sabtu, dengan beberapa letupan kedengaran di Caracas, selain kelibat pesawat terbang rendah di ruang udara ibu negara itu.
Kerajaan Venezuela segera menuduh Amerika Syarikat menyerang sasaran awam dan ketenteraan, menyifatkannya sebagai satu “serangan imperialis”, serta menggesa rakyat turun ke jalanan.
Trump mengumumkan perkembangan tersebut menerusi platform Truth Social kira-kira jam 4.30 pagi waktu Timur Amerika Syarikat, sambil menyatakan operasi berkenaan berjaya dilaksanakan.
Bagaimanapun, tiada pengesahan rasmi diberikan mengenai lokasi Maduro dan isterinya, atau sama ada Jabatan Kehakiman AS akan meneruskan pendakwaan terhadapnya.
Maduro sebelum ini didakwa di Mahkamah Persekutuan Amerika Syarikat pada Mac 2020 atas tuduhan konspirasi “narco-terrorism” di Daerah Selatan New York.
Kemunculan terakhir Maduro di televisyen kerajaan adalah pada Jumaat, ketika beliau bertemu delegasi pegawai China di Caracas.
Sekurang-kurangnya tujuh letupan dilaporkan berlaku di ibu negara Venezuela pada hari ketiga tahun 2026, mencetuskan panik dalam kalangan penduduk, walaupun setakat ini tiada pengesahan mengenai korban di kedua-dua pihak.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) turut mengeluarkan larangan penerbangan komersial AS di ruang udara Venezuela berikutan aktiviti ketenteraan yang berterusan.
Serangan itu menyusul selepas pentadbiran Trump meningkatkan tekanan terhadap Maduro sejak beberapa bulan lalu, termasuk operasi dron oleh CIA di kawasan yang dipercayai digunakan kartel dadah.
Maduro sebelum ini mengecam tindakan ketenteraan Amerika Syarikat sebagai usaha terselindung untuk menyingkirkannya daripada kuasa.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


