RABAT/ISTANBUL: Maghribi mengeluarkan amaran risiko ekstrem kebakaran hutan di enam wilayah pada Jumaat, selain menggesa penduduk berhampiran kawasan hutan supaya berwaspada sehingga Selasa, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Agensi Kebangsaan Air dan Hutan Maghribi mengeluarkan amaran merah bagi Fahs-Anjra, Tangier-Assilah, Taounate, Taza, Essaouira dan Taroudant, yang menunjukkan risiko ekstrem berlakunya kebakaran.
Agensi itu menggesa penduduk berhampiran hutan, selain pekerja, pelancong dan pengunjung, supaya mengambil langkah berjaga-jaga serta mengelakkan aktiviti yang boleh mencetuskan kebakaran.
Sebanyak 24 wilayah lagi diletakkan di bawah amaran jingga, yang menunjukkan risiko tinggi berlakunya kebakaran hutan.
Agensi itu turut menggesa orang ramai agar segera memaklumkan pihak berkuasa tempatan sekiranya melihat asap atau tingkah laku mencurigakan.
Maghribi menggunakan sistem amaran awal yang dikendalikan Agensi Kebangsaan Air dan Hutan bagi menilai risiko kebakaran hutan berdasarkan keadaan cuaca dan litupan tumbuh-tumbuhan.
Pihak berkuasa sebelum ini memaklumkan sebanyak 310 kebakaran hutan direkodkan dari awal tahun hingga 20 Julai, memusnahkan kira-kira 1,850 hektar kawasan.
-- BERNAMA-ANADOLU