Skip to main content

Dunia

Mahkamah Jenayah Khas Syria siap sepenuhnya, bakal adili individu terkait rejim Assad

TB_MAHKAMAH SYRIA AL WAIS_Telegram Kementerian Undang-Undang Syria
Mahkamah ini bakal menyaksikan perbicaraan terhadap mereka yang bertanggungjawab atas pelanggaran serius oleh anggota rejim terdahulu, ujar al-Wais (kiri) semasa melawat bilik perbicaraan Mahkamah Jenayah Khas di Damsyik pada 23 April.

DAMSYIK: Mahkamah Jenayah Khas yang ditubuhkan bagi mengadili individu dikaitkan dengan rejim bekas Presiden Syria, Bashar al‑Assad, telah siap sepenuhnya dan kini menunggu untuk memulakan perbicaraan dalam tempoh terdekat.

Kementerian Undang-Undang Syria berkata penubuhan mahkamah berkenaan merupakan sebahagian daripada proses peralihan politik bagi memastikan akauntabiliti terhadap pelanggaran hak asasi manusia yang berlaku sepanjang konflik bermula pada 2011.

Advertisement

Langkah itu turut dilihat sebagai usaha memperkukuh sistem kehakiman negara selepas kejatuhan pemerintahan lama di bawah bekas Presiden Bashar al-Assad pada Disember 2024.

Menteri Kehakiman Syria, Mahzar Abdul Rahman Al‑Wais dilapor telah mengadakan lawatan ke lokasi mahkamah tersebut pada 23 April lalu bagi meninjau persiapan akhir menjelang perbicaraan.

“Mahkamah ini bakal menyaksikan perbicaraan terhadap mereka yang bertanggungjawab atas pelanggaran serius oleh anggota rejim terdahulu.

"Kami berharap perbicaraan ini akan berlangsung secara adil,” katanya.

Bagaimanapun, pihak berkuasa setakat ini belum mengumumkan tarikh rasmi permulaan perbicaraan berkenaan.

Media tempatan melaporkan beberapa individu telah dikenal pasti untuk didakwa, termasuk kes yang membabitkan bekas pegawai kanan rejim terdahulu.

Seorang plaintif yang enggan dinamakan dari bandar selatan Daraa dilapor telah dipanggil untuk hadir ke mahkamah pada Ahad bagi memberi keterangan terhadap bekas brigadier rejim dan sepupu Assad, Atef Najib.

Atef berdepan tuduhan melakukan jenayah terhadap orang awam dan didakwa bertanggungjawab atas pembunuhan salah seorang abang plaintif berkenaan.

Beberapa plaintif lain turut dijangka hadir pada sesi pendengaran tersebut, termasuk Murad Mohammad Khair Abu Nabut, Sanaa al‑Sheikh al‑Sagha, Hosni Abdul Rahim al‑Rabdawi, Bilal Muslih Ayyash, dan Noha Abdul Aziz al‑Masri.

Senarai plaintif yang diperoleh media turut menyenaraikan dua saksi iaitu Amjad Mamdouh al‑Mahamid dan Ahmad Hosni al‑Jawabreh.

Peguam yang terlibat memaklumkan bahawa individu lain juga berkemungkinan dibicarakan, sama ada secara fizikal atau in absentia, tanpa mendedahkan identiti mereka.

Sejak penubuhan kerajaan baharu di bawah Presiden interim Ahmed Al‑Sharaa, usaha pendakwaan terhadap jenayah perang dilaporkan semakin giat dijalankan di seluruh negara.

Dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa Syria pada 24 April lalu menahan bekas komander unit keselamatan ketenteraan di bawah rejim Assad, Amjad Youssef, di Hama.

Dia dipercayai suspek utama tragedi Tadamon pada 2013 yang mengorbankan seramai 288 orang awam.

Sementara itu, pada 23 April, kementerian berkenaan turut menerima permohonan beberapa hakim yang berpaling tadah daripada rejim terdahulu sebagai pengiktirafan terhadap peranan mereka dalam memperkukuh keadilan dan kedaulatan undang-undang.

Al‑Wais memaklumkan Majlis Kehakiman Tertinggi telah mengambil langkah perlu untuk mengembalikan mereka ke jawatan asal, berdasarkan dekri presiden yang membatalkan keputusan pemecatan tidak adil sebelum ini.

“Langkah ini merupakan sebahagian penting dalam proses pembaharuan yang dihasratkan,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan menerusi Telegram Sekretariat Am Kepresidenan Republik Arab Syria – Hal Ehwal Majlis Menteri.

 

Must Watch Video