MAHKAMAH Rayuan Amerika Syarikat (AS) pada Khamis mengekalkan penangguhan terhadap sekatan perjalanan tujuh negara Islam ke AS seperti yang ditandatangani Presiden Donald Trump sebelum ini.

Perintah berkenaan hadir berikutan cabaran ke atas arahan eksekutif Trump oleh negeri Washington dan Minnesota. Mahkamah Agung AS akan menentukan keputusan akhir nanti.

White House setakat ini belum memberikan sebarang komen mengenai perkara itu.

Arahan eksekutif Trump pada 27 Januari lalu melarang kemasukan pelancong dan pengembara dari Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan, Syria dan Yaman selama 90 hari, dan mengenakan sekatan 120 hari ke atas semua pelarian, kecuali pelarian dari Syria yang disekat untuk suatu tempoh yang tidak dinyatakan.

Hakim Daerah AS, James Robart, menangguhkan arahan Trump Jumaat lalu.

Keputusan penangguhan itu susulan pendengaran kes pada Selasa, tidak menyelesaikan tuntutan undang-undang, namun ada kaitan dengan sama ada arahan Trump itu perlu ditangguh sementara proses litigasi diteruskan.

Dua anggota daripada panel tiga hakim yang mengeluarkan perintah itu dilantik oleh bekas presiden demokrat Jimmy Carter dan Barack Obama, dan seorang lagi dilantik oleh bekas presiden George W. Bush.