Skip to main content

Dunia

Majlis Keselamatan PBB akan tentukan masa depan UNIFIL

Sumber: UNIFIL
Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan menentukan masa depan Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL) selepas mandat misi pengaman itu berakhir.
Advertisement

BEIRUT/ISTANBUL: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan menentukan masa depan Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL) selepas mandat misi pengaman itu berakhir, lapor Anadolu Ajansi memetik jurucakap pasukan berkenaan.

Dalam wawancara dengan Anadolu, Dany Ghafri berkata majlis itu mempunyai beberapa pilihan bagi meneruskan pelaksanaan Resolusi 1701, termasuk pemantauan, pemerhatian dan bantuan kepada tentera Lubnan.

Mandat UNIFIL akan berakhir pada penghujung 2026 ketika perbincangan antarabangsa mengenai masa depannya masih berlangsung, manakala Lubnan bertegas mahu misi itu terus dikekalkan sebagai elemen penting bagi kestabilan di selatan negara berkenaan.

UNIFIL ditempatkan di Lubnan sejak 1978 berdasarkan resolusi Majlis Keselamatan bagi memantau penghentian permusuhan antara Lubnan dan Israel serta membantu mengekalkan keselamatan dan kestabilan di kawasan berkenaan.

Israel menduduki beberapa kawasan di selatan Lubnan, sebahagiannya sejak beberapa dekad lalu dan yang lain sejak perang 2023 hingga 2024, selain mara lebih 10 kilometer dalam serangan semasa.

Ghafri berkata Resolusi 2790 Majlis Keselamatan yang diluluskan pada Ogos 2025 melanjutkan mandat UNIFIL buat kali terakhir sehingga 31 Dis 2026.

UNIFIL terus melaksanakan semua tugas yang ditetapkan di bawah Resolusi 1701 mengikut keadaan dan keupayaan semasa.

“Namun, menjelang 31 Dis 2026, operasi misi itu akan dihentikan dan UNIFIL akan memulakan pengunduran secara berperingkat dan selamat sepanjang tahun 2027.

“UNIFIL sedang menyediakan pelan pengunduran dengan penyelarasan bersama negara penyumbang tentera serta kerajaan dan tentera Lubnan,” kata Ghafri.

Beliau berkata misi itu dijangka menyerahkan tugasnya kepada pihak berkuasa Lubnan.

Sejak 2 Mac, Israel melancarkan serangan ke atas Lubnan yang mengorbankan sekurang-kurangnya 4,362 orang, mengakibatkan 12,378 yang lain cedera dan menyebabkan lebih sejuta penduduk kehilangan tempat tinggal, menurut pihak berkuasa Lubnan.

Kerajaan dan anggota Parlimen Lubnan menggesa supaya Resolusi 2790 dikaji semula, sambil memberi amaran mengenai kemungkinan berlaku kekosongan kawalan di selatan Lubnan selepas pengunduran UNIFIL.

Pada Khamis, Presiden Lubnan Joseph Aoun menegaskan komitmen negaranya untuk memastikan kehadiran UNIFIL di Lubnan berikutan “peranan penting” yang dimainkan pasukan berkenaan.

Aoun berkata sekiranya mandat UNIFIL tidak dapat dilanjutkan, Lubnan mengalu-alukan mana-mana negara “saudara atau sahabat” yang bersedia meneruskan sebahagian daripada tugas misi itu.

Beliau juga berkata hubungan sedang dijalankan “bagi mencari formula perundangan untuk kehadiran antarabangsa sedemikian” bagi menyokong tentera Lubnan serta penduduk di selatan dari segi kemanusiaan, sosial, kesihatan dan pendidikan.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video

Advertisement