NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat mengutuk sekeras-kerasnya "serangan pengganas" ke atas kedutaan Pakistan di Afghanistan, sambil menekankan mengenai prinsip ketakbolehcabulan premis diplomatik.

Duta Pakistan ke Afghanistan terselamat tanpa sebarang kecederaan akibat serangan senjata api oleh lelaki tidak dikenali di pintu masuk kedutaan di Kabul, ibu negara Afghanistan, manakala seorang pengawal keselamatan kedutaan itu cedera, lapor media tempatan Afghanistan awal Jumaat.

Dalam satu kenyataan akhbar, Majlis Keselamatan 15 negara itu menggesa semua pihak berkaitan supaya menghormati dan memastikan keselamatan premis diplomatik dan konsular serta kakitangan negara anggota PBB, lapor Xinhua.

Ahli majlis menekankan prinsip asas ketakbolehcabulan premis diplomatik dan konsular dan kewajipan ke atas negara penerima di bawah Konvensyen Vienna 1961 mengenai Hubungan Diplomatik dan Konvensyen Vienna 1963 mengenai Hubungan Konsular, "untuk mengambil semua langkah yang sesuai bagi melindungi premis diplomatik dan konsular," menurut kenyataan itu.

Mereka juga menggariskan keperluan untuk mempertanggungjawabkan pelaku, penganjur, pembiaya dan penaja tindakan keganasan yang tercela ini dan membawa mereka ke muka pengadilan.

-- BERNAMA