Skip to main content

Dunia

AS maklum kongres mengenai dana pasukan penstabilan Gaza

Palestinians attend the funeral of 50 people from three families killed during the war and whose bodies were retrieved from under the rubble recently, in Gaza City, August 20, 2026. REUTERS/Mahmoud Issa
Israel melancarkan perang genosid di Gaza sejak 8 Okt 2023, mengorbankan lebih 73,000 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 174,000 yang lain, selain memusnahkan kira-kira 90 peratus infrastruktur wilayah itu. -Gambar fail/Reuters
Advertisement

WASHINGTON: Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) pada Khamis memaklumkan bahawa Kongres secara rasmi telah diberitahu mengenai sokongan dana bagi Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) yang dirancang untuk Gaza, menyifatkan langkah itu sebagai langkah awal dalam menyokong pelan damai Asia Barat Presiden Donald Trump, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Pada 30 Julai, Jabatan Negara memaklumkan Kongres mengenai sokongan dana bagi Pasukan Penstabilan Antarabangsa,” kata jurucakap Jabatan Negara kepada Anadolu, mengesahkan laporan terdahulu.

“Dana ini adalah pada peringkat awal ketika kami terus menyokong usaha Lembaga Keamanan,” kata jurucakap itu tanpa menyatakan jumlah yang terbabit.

Secara berasingan, jurucakap Jabatan Negara AS Tommy Pigott dalam kenyataan menerusi e-mel berkata Washington “komited terhadap pelaksanaan sepenuhnya pelan damai bersejarah 21 perkara Presiden, yang menjadikan ISF sebagai komponen utama.”

“Disebabkan Presiden, satu gabungan global yang besar telah dibentuk menerusi Lembaga Keamanan dan tebusan telah dibebaskan. Kami berbesar hati dengan kemajuan berterusan yang dicapai Lembaga Keamanan.”

Trump pada 31 Julai mengumumkan bahawa Lembaga Keamanan mencapai persetujuan dengan Hamas bagi “pelucutan senjata sepenuhnya” kumpulan itu dan puak bersenjata lain di Gaza, dengan tentera Israel akan berundur secara berperingkat dan ISF bekerjasama dengan pasukan polis Palestin yang baharu.

Bagaimanapun, pelan tersebut sejak itu berdepan tentangan Israel. Perdana Menteri Benjamin Netanyahu menolaknya bulan ini dengan memberitahu Kabinet bahawa tentera Israel tidak akan berundur sehingga Hamas benar-benar dilucutkan senjata.

Hamas berkata pihaknya kekal komited terhadap pelan hala tuju itu.

Penasihat kanan White House Jared Kushner mengunjungi rantau itu minggu ini dan bertemu pegawai Hamas di Mesir sebelum mengadakan rundingan dengan Netanyahu di Israel bersama utusan Lembaga Keamanan Nikolay Mladenov.

Menurut laporan media, Netanyahu dan Kushner tidak sependapat mengenai tindakan Israel yang terus melakukan pembunuhan di Gaza, dengan Netanyahu menegaskan serangan akan diteruskan manakala Kushner menyuarakan bantahan.

Pengantara terus berusaha memajukan pelaksanaan perjanjian gencatan yang berkuat kuasa pada 10 Okt 2025.

Pelanggaran Israel terhadap perjanjian itu telah mengorbankan 1,283 rakyat Palestin dan mencederakan 4,248 yang lain, menurut angka terkini Kementerian Kesihatan di Gaza.

Israel melancarkan perang genosid di Gaza sejak 8 Okt 2023, mengorbankan lebih 73,000 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 174,000 yang lain, selain memusnahkan kira-kira 90 peratus infrastruktur wilayah itu.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video

Advertisement