Malaysia mengatasi negara Islam lain dalam satu kajian Indeks Islamicity yang dijalankan oleh dua orang tokoh akademik dari Universiti George Washington, Amerika Syarikat.

Menerusi Indeks Islamicity tersebut, Malaysia jauh mengatasi Kuwait, Arab Saudi dan Qatar serta negara-negara Islam yang lain, lapor The Irish Times.

Profesor Perniagaan Antarabangsa dan Hal Ehwal Antarabangsa dari Univeristi George Washington, Hossein Askari berkata, Indeks Islamicity itu mendapati Ireland merupakan negara yang disifatkan paling taat kepada nilai-nilai Al-Quran.

Tokoh akademik kelahiran Iran itu berkata, negara yang seterusnya yang dianggap mengikut ajaran Al-Quran ialah Denmark, Sweden dan United Kingdom.

Laporan itu memetik satu temubual Prof Hossein bersama BBC, yang menjelaskan kajian yang dibuat oleh beliau dan rakan sekerjanya, Dr Scheherazde S. Rehman juga mendapati Israel sebagai negara yang lebih mematuhi apa yang terkandung dalam Al-Quran.

Tiada satu negara yang majoritinya Islam menduduki tangga ke-25 ke atas dan tiada negara Arab berada dalam kedudukan 50 teratas.

Prof Hossein berkata, apabila Indeks Islamicity digunakan, hanya dua negara Islam berada dalam senarai 50 teratas iaitu Malaysia (33) dan Kuwait (42), berbanding Amerika Syarikat dan Belanda yang berkongsi pada kedudukan ke-15, manakala Perancis pada kedudukan ke-17.

Arab Saudi berada pada kedudukan ke-91 manakala Qatar di kedudukan 111. Israel berada ditangga ke-27.

Prof Hossein dan Scheherazde mengemukakan kajian berdasarkan ekonomi, tadbir urus, hak asasi manusia dan politik, dan hubungan antarabangsa.

Menerusi indeks itu, "negara-negara Islam sangat teruk," kata beliau dan menuduh mereka menggunakan agama sebagai alat kuasa.

November lalu, Prof Hossein berkata bahawa "hasil kajian menunjukkan banyak negara yang mengakui Islam dan bergelar Islam adalah tidak adil, rasuah, serta mundur dan sebenarnya tidak 'Islam' seperti yang dibayangkan.

"Melihat kepada indeks Islamicity Ekonomi, atau sejauhmana dasar-dasar dan pencapaian negara mencerminkan ajaran ekonomi Islam - Ireland, Denmark, Luxembourg, Sweden, United Kingdom, New Zealand, Singapura, Finland, Norway, dan Belgium berada pada tangga 10 teratas.

"Dalam 'Indeks Islamicity Keseluruhan', ukuran yang merangkumi undang-undang dan tadbir urus, hak asasi manusia dan politik, hubungan antarabangsa, dan faktor-faktor ekonomi, "kedudukan adalah lebih kurang sama: New Zealand, Luxembourg, Ireland, Iceland, Finland, Denmark, Kanada, United Kingdom, Australia dan Belanda; dan sekali lagi hanya Malaysia (38) dan Kuwait (48) berada dalam senarai 50 teratas dari negara-negara Islam," Prof Hossen dipetik sebagai berkata.