PUTRAJAYA: Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan pencerobohan dan pengusiran paksa di Pusat Latihan Qalandia milik Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) oleh rejim Israel di Kafr Aqab, Baitulmuqaddis Timur.
Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) dalam kenyataan pada Rabu berkata fasiliti itu memainkan peranan penting dalam menyediakan latihan vokasional kepada ratusan belia Palestin sejak tahun 1952.
"Tindakan rejim Zionis ini jelas bertujuan untuk menafikan akses bagi golongan muda Palestin kepada pendidikan dan latihan, yang mencabul hak asasi manusia mereka.
"Premis Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak boleh dicerobohi, dan hak keistimewaan serta kekebalannya perlu dihormati.
"Mandat UNRWA perlu dilindungi bagi memastikan penyampaian perkhidmatan dan keperluan asas kepada pelarian Palestin," kata kenyataan itu.
Wisma Putra turut menggesa masyarakat antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan PBB, mengambil tindakan tegas bagi mempertahankan undang-undang antarabangsa, Piagam PBB serta keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Insiden pencerobohan itu turut mencetuskan kecaman daripada Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, yang menyifatkan tindakan berkenaan membimbangkan serta melanggar kekebalan premis PBB.
Tindakan Israel itu turut dikutuk Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Jordan dan Palestin yang menggesa Majlis Keselamatan PBB mengambil tindakan bagi menghentikan tindakan berkenaan.
Pencerobohan di Kafr Aqab dilakukan susulan undang-undang Knesset Israel yang melarang operasi UNRWA serta membatalkan status kekebalan diplomatik agensi berkenaan di wilayah yang dikuasai rejim.
Kementerian Luar Israel mendakwa tanah fasiliti itu milik Tabung Kebangsaan Yahudi (JNF) dan bercadang menyerahkannya kepada Perbandaran Baitulmuqaddis untuk projek kompleks komuniti baharu.
Pemerhati antarabangsa bagaimanapun melihat rampasan ini sebagai langkah berterusan rejim Zionis untuk melumpuhkan operasi UNRWA sekali gus cuba menghapuskan isu hak kepulangan jutaan pelarian Palestin.