PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan bahawa seorang lelaki berusia 55 tahun yang sebelum ini dibebaskan daripada pertuduhan membunuh bapanya atas alasan tidak waras tidak perlu dipanggil membela diri.
Panel tiga hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Seri Abu Bakar Jais yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nordin Hassan dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Pang Kar Foong terhadap keputusan Mahkamah Rayuan mengetepikan pembebasannya dan memerintahkan beliau membela diri atas pertuduhan membunuh bapanya pada 2020.
Hakim Nordin ketika menyampaikan keputusan berkata kes itu mempunyai keadaan berbeza daripada prinsip undang-undang lazim mengenai keperluan tertuduh dipanggil membela diri apabila tiada kes prima facie.
“Mahkamah berpandangan bahawa ini merupakan kes yang wajar untuk mahkamah menggunakan budi bicaranya bagi membenarkan rayuan dan dalam keadaan ini, pembelaan tidak seharusnya dipanggil.
“Bagaimanapun, kami akan mengeluarkan perintah supaya tertuduh dalam kes ini ditempatkan dalam jagaan selamat selama diperkenankan Sultan (Perak) mengikut Seksyen 348 Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.
Terdahulu, peguam Gurbachan Singh yang mewakili Pang berkata anak guamnya mengalami gangguan mental dan tidak siuman dari segi undang-undang mengikut Seksyen 84 Kanun Keseksaan ketika kejadian yang didakwa itu dilakukan.
Seksyen 84 memperuntukkan bahawa sesuatu perbuatan yang dilakukan oleh seseorang akibat ketidakwarasan fikiran, tidak berupaya mengetahui sifat perbuatan itu atau bahawa perbuatan tersebut salah atau bertentangan dengan undang-undang, bukan merupakan suatu kesalahan.
“Pegawai penyiasat telah memberikan keterangan dan mengemukakan laporan psikiatri yang dijadikan sandaran oleh Mahkamah Tinggi ketika membebaskan Pang pada akhir kes pendakwaan.
“Laporan psikiatri itu menyatakan bahawa Pang berada dalam keadaan fikiran tidak waras pada 12 Sept 2020 dan tidak berupaya mengetahui sifat serta akibat perbuatannya,” katanya.
Pang, yang membantu bapanya mengusahakan sebuah kedai runcit, didakwa membunuh Pang Ket Tai, 75, di sebuah rumah di Kampung Baru Gunung Rapat, Ipoh, Perak. Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 10.30 pagi hingga 6.30 petang pada 12 Sept 2020.
Menurut laporan psikiatri yang disediakan pakar perunding psikiatri forensik Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, Perak, Pang disahkan mengalami gangguan bipolar dengan ciri-ciri psikotik.
Laporan itu turut menyatakan bahawa ketika dirawat di wad, Pang mencederakan kedua-dua matanya sendiri dan menjalani pembedahan mata. Akibat kecederaan itu, penglihatan pada kedua-dua matanya terjejas.
Pada 30 Sept tahun lepas, Mahkamah Tinggi membebaskan Pang daripada pertuduhan membunuh tanpa memerintahkannya membela diri dan kemudian memerintahkan beliau ditahan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, selama diperkenankan Sultan Perak mengikut Seksyen 348(2) Kanun Tatacara Jenayah.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fuad Abdul Aziz mewakili pihak pendakwaan manakala Pang diwakili peguam Gobindeep Singh.
-- BERNAMA