Skip to main content

Malaysia

Rugi berbilion masih kata tiada apa-apa, tak boleh – PM Anwar

FOTO SHAHIR
Anwar semasa berucap pada Majlis Peluncuran Sambutan Ulang Tahun ke-80 Telekom Malaysia Berhad (TM) di Universiti Multimedia University (MMU) di sini, hari ini. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Advertisement

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan budaya terlalu selesa dan bertolak ansur dengan kelemahan boleh menyebabkan sesebuah agensi, syarikat mahupun negara gagal mencapai kemajuan.

Beliau berkata, sikap menganggap kerugian berbilion ringgit sebagai perkara biasa tidak boleh diterima kerana ia mencerminkan kegagalan untuk bertindak terhadap kerosakan yang berlaku.

“Ada agensi dan syarikat rugi RM10 bilion, RM12 bilion, tetapi kita masih kata, ‘Okey, tidak ada apa-apa, biasa.’

“Biasa apa? Biasa lingkup? Tidak boleh begitu. Ini budaya yang akan menyebabkan kita terus selesa dan rugi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Sambutan Ulang Tahun ke-80 Telekom Malaysia Berhad (TM) di Universiti Multimedia University (MMU) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata budaya selesa atau culture of contentment boleh melemahkan sesebuah negara sekiranya masyarakat berpuas hati dengan pencapaian sedia ada dan tidak terdorong melakukan pembaharuan.

Menurutnya, budaya berkenaan bukan sahaja perlu ditangani di universiti, malah dalam organisasi korporat termasuk TM.

“Kita harus mempunyai tekad untuk menolak budaya selesa. Selesa dengan pencapaian tidak seteruk terus bertoleransi dengan kerosakan,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berharap MMU turut mampu menjadi contoh kecemerlangan, manakala syarikat telekomunikasi berkenaan terus berkembang sebagai rangkaian yang dapat dibanggakan negara.

Katanya, TM perlu terus bergerak ke hadapan selaras dengan semangat komunikasi dan keterhubungan, selain menjadikan sambutan ulang tahun itu sebagai dorongan kepada seluruh warga syarikat untuk mencapai kejayaan lebih besar.

Turut hadir Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu serta Pengerusi TM, Datuk Zainal Abidin Putih.


 

Must Watch Video

Advertisement