KUALA LUMPUR: Malaysia perlu menyatakan pendirian tegas agar sebarang bentuk serangan dari Israel dihentikan.

Penganalisis Ekonomi, Politik dan Antarabangsa, Herizal Hazri berkata, perkara yang berlaku kini jelas menunjukkan kemungkinan krisis kemanusiaan yang berlaku di Gaza boleh berlaku di Malaysia jika undang-undang antarabangsa tidak dihiraukan.

“Sebagai rakan dagang, Malaysia ada suara yang disegani. Oleh itu, kita perlu gunakan platform-platform yang ada untuk mengingatkan rakan dagang kita. Rakyat Gaza merana, kekurangan makanan dan dibunuh setiap hari.

“Dalam konteks yang lebih besar kalau dibiarkan terus berlaku, perkara yang sama boleh berlaku di mana-mana sahaja, termasuk di Malaysia.

“Andai kata apa yang berlaku di Palestin berlaku di Malaysia, dan tidak ada orang hendak tolong kita. Kemudian, apabila kita bertindak balas, kita dianggap negara pengganas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Isnin.


Malaysia perlu tegas, apa yang berlaku di Palestin boleh berlaku di Malaysia - Penganalisis

Tambah Herizal, Malaysia perlu menggunakan kelebihan diplomatik yang ada untuk memastikan lebih ramai masyarakat antarabangsa dan negara-negara asing untuk memberi perhatian kepada isu di Asia Barat.

Menurutnya, perhatian yang diberikan secara khusus oleh dunia kepada konflik yang berlaku akan memastikan tidak berlakunya dwistandard dalam usaha menyelesaikan cabaran yang berbangkit.

Pembantaian Israel ke atas Palestin telah mencetuskan pelbagai reaksi, selain merekodkan peningkatan angka korban yang mencecah hampir 34,000 orang setakat Ahad.

Keengganan rejim zionis menghentikan serangan ke wilayah Gaza dan Tebing Barat menyebabkan kumpulan Houthi di Yaman melancarkan serangan ke atas kapal-kapal yang mempunyai kaitan dengan Israel sejak 19 November tahun lalu.

Media antarabangsa melaporkan sekurang-kurangnya 34 buah kapal rosak akibat siri serangan Houthi, termasuk satu kapal dilaporkan karam pada Februari iaitu kapal kargo Rubymar.

Terbaharu, Iran telah melancarkan serangan udara dengan menggunakan dron dan peluru berpandu ke atas Israel pada Sabtu sebagai tindak balas kepada serangan maut Israel ke atas konsulatnya di Damsyik, Syria pada 1 April lepas.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) telah bersidang pada Ahad bagi membincangkan perkembangan konflik tersebut dan badan dunia itu meminta semua pihak untuk tidak memburukkan lagi keadaan.


Agenda AWANI: Perang Iran-Israel | Fokus Bebaskan Palestin