BANGKOK: Malaysia bersetuju untuk memainkan peranan sebagai fasilitator dalam dialog damai di beberapa wilayah sempadan selatan Thailand.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Malaysia juga sentiasa komited dalam memastikan pendamaian dapat dicapai semua pihak.

Selama ini, komitmen negara, kata Ismail Sabri, dipersetujui bermula dengan Dialog Pendamaian Selatan Thailand.

"Oleh itu dalam perjumpaan semalam, Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan o-cha bersetuju Malaysia meneruskan peranan kita sebagai fasilitator dalam dialog pendamaian tersebut," jelasnya dalam sidang media di sini, pada akhir lawatan rasminya ke Thailand pada Sabtu.

Sehubungan itu, Ismail Sabri memberikan komitmen dialog terbabit akan diadakan segera selepas dua tahun ditunda akibat pandemik COVID-19.

Tingkat keselamatan sempadan

Dalam perkembangan berkaitan, kedua-dua negara juga, kata Ismail Sabri, bersetuju untuk meningkatkan keselamatan di sempadan.

Ujarnya, kerjasama pertahanan dan keselamatan itu termasuk membanteras aktiviti jenayah rentas sempadan.

"Seperti keselamatan sempadan, kedua-dua pihak bersetuju mempertingkatkan lagi kerjasama bagi memastikan kawasan sempadan dari segi keselamatan dapat dijamin dan terpelihara.

"Kita berdua juga bersetuju memperkukuhkan kerjasama pertahanan dan keselamatan termasuk dalam membanteras aktiviti penyeludupan dan jenayah rentas sempadan," katanya lagi.

BACA: Malaysia, Thailand setuju bangunkan vaksin, kaji pembinaan HSR Bangkok - Kuala Lumpur

BACA: VTL Malaysia - Thailand dalam masa terdekat - PM

Dalam pertemuan dengan Prayuth juga, kedua-dua pemimpin itu turut menyentuh isu Rohingya di Myanmar.

"Malaysia membuat pendirian bahawa isu Myanmar perlu diselesaikan bagi menjaga kepentingan rakyat Myanmar. Saya memberikan pandangan bahawa pertama kita bersetuju Five-Point Consensus yang telah dipersetujui oleh pemimpin pemimpin ASEAN sebelum ini dilaksanakan di Myanmar dengan segera.

"Saya juga memberikan pandangan bahawa isu Myanmar tidak terletak di tangan negara ASEAN dari segi penyelesaian tetapi terletak di tangan Myanmar itu sendiri.

"Sebab kalau Myanmar tidak ingin melihat kedamaian berlaku di negara mereka maka tiada apa yang lebih konkrit dilakukan di negara Asia. Kita sebagai negara luar ASEAN mempunyai prinsip ktia tidak boleh campur tangan sepenuhnya apa berlaku di negara lain," jelasnya lagi.

Lebih penting juga, kata Ismail Sabri, semangat ditunjukkan oleh Myanmar dalam menyelesaikan isu Rohingya yang berpanjangan itu.