KUALA LUMPUR: Malaysia menyambut baik dan menyokong inisiatif China untuk mempromosi keterbukaan, inklusif, dan saling hormat-menghormati, kata Menteri Luar Negeri Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Dalam sidang media bersama Menteri Luar China, Wang Yi, hari ini, Ahli Parlimen Temerloh itu berkata, konsep “Community of Shared Future” oleh Presiden Xi Jinping sejajar dengan konsep ‘Keluarga Dunia’ yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Selain itu, Saifuddin berkata, Malaysia juga menyambut baik inisiatif China dalam mempromosi Inisiatif Pembangunan Global yang dicetuskan oleh Xi.

“Kami melihat inisiatif ini sebagai peluang untuk kedua-dua negara menyediakan persekitaran global yang lebih inklusif, dan teguh. Dan ini sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan 2030 oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang dipersetujui semua pihak,” katanya lagi.

Terdahulu, Wang Yi mengetuai delegasi pegawai kanan dari China, telah mengadakan perbincangan tertutup dengan delegasi Malaysia yang diketuai Saifuddin di sebuah hotel di ibu negara.

Dalam pertemuan itu, Wang Yi dan Saifuddin turut menyaksikan memorandum persefahaman (MoU) antara Jabatan Meteorologi Malaysia dan Pentadbiran Meteorologi China; serta MoU antara Media Prima Omnia Sdn Bhd dan Hunan Broadcasting System.

Ia merupakan sebahagian daripada program sepanjang dua hari lawatan rasmi beliau ke negara ini, yang bermula semalam.

Wang Yi juga telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri di Putrajaya, selain menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara hari ini.

Dalam pada itu Saifuddin berkata, Malaysia amat menghargai peranan China dalam membantu negara menangani pandemik COVID-19.

Selain itu Saifuddin berkata, beliau telah memaklumkan kepada Wang Yi bahawa Malaysia mempunyai aspirasi untuk membangun dan mengukuhkan lagi kemampanan ekonomi melalui ekonomi digital.

“Kepayahan yang dialami sewaktu era pandemik mendorong kita untuk mengetahui siapa sebenarnya rakan. Kerajaan dan rakyat Malaysia amat berterima kasih kepada China kerana memberi pertolongan dari segi vaksin, dan lain-lain bantuan.

“Saya rasa penting untuk kedua-dua negara menjalin kerjasama yang lebih erat dalam sektor telekomunikasi dan bidang lain yang berkaitan ekonomi digital,” katanya lagi.

Saifuddin berkata, kedua-dua negara juga mempunyai persefahaman dalam pelbagai lagi bidang, terutamanya dalam pandangan terhadap dunia luar.

“Hari ini, dalam terma seni bina dunia, dalam terma politik, dalam terma bagaimana kita harus mempunyai pandangan yang sama, untuk membolehkan kedua-dua negara bekerjasama untuk masa depan yang lebih baik,” katanya lagi.