CALIFORNIA: Empat sekeluarga termasuk bayi berusia lapan bulan dalam kes culik di California, Amerika Syarikat (AS) pada Isnin lepas ditemui mati.

Syerif Daerah Merced, Vern Warnke memaklumkan, mayat keempat-empat mangsa ditemui di kawasan pedalaman, kira-kira 200 kilometer di tenggara San Francisco, oleh seorang petani pada Rabu.

Suspek yang dikenali sebagai Jesus Manuel Salgado telah ditahan polis pada Selasa, lapor New York Post.

Salgado ditahan selepas polis mengesan kad ATM milik mangsa digunakan di bandar Atwater, berdekatan dengan Merced.

Suspek cuba membunuh diri sebaik dikepung pihak berkuasa, namun berjaya ditahan sebelum berbuat demikian.

Bayi berkenaan Aroohi Dheri; ibu kanak-kanak itu, Jasleen Kaur, 27; bapanya Jasdeep Singh, 36; dan bapa saudara Amandeep Singh, 39, telah dilarikan penjenayah bersenjata di bandar Merced pada Isnin kira-kira jam 1 petang.

BACA: Polis dedah suspek penculikan empat sekeluarga termasuk bayi

Pihak berkuasa masih mengenal pasti motif di sebalik penculikan berkenaan.