Pelajar perubatan yang dirogol beramai-ramai di New Delhi 16 Disember lalu menghembuskan nafas terakhir di Hospital Mount Elizabeth, Singapura hari ini.

Menurut doktor, mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 4.45 pagi waktu tempatan di sisi keluarga.

Mangsa yang berusia 23 tahun tiba di Singapura pada hari Khamis bagi menerima rawatan susulan.

Jurucakap Hospital Mount Elizabeth memaklumkan dia berada dalam keadaan kritikal sejak dipindahkan ke hospital berkenaan.

Mangsa mengalami kegagalan organ yang teruk berikutan kecederaan serius pada badan dan otak.

Pada 16 Disember lalu, mangsa dirogol secara berkumpulan dalam sebuah bas sebelum dicampak keluar ketika ia sedang bergerak.

Insiden itu mengundang kemarahan seluruh rakyat India yang menuntut hukuman keras dikenakan terhadap pesalah seks.

Ekoran bantahan besar-besaran, New Delhi menubuhkan Suruhanjaya Inkuiri bagi menyiasat kes berkenaan.

Enam suspek telah ditahan bagi siasatan lanjut.