MANILA: Presiden Ferdinand R. Marcos Jr. kekal optimis bahawa rundingan mengenai Kod Tatalaku (COC) di Laut China Selatan akan dimuktamadkan semasa Kepengerusian ASEAN oleh Filipina pada 2026, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).
Dalam sidang media pada Khamis, Pegawai Akhbar Istana Claire Castro berkata Marcos masih mahu perjanjian yang telah lama dinantikan itu dimuktamadkan ketika Filipina menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun ini.
“Buat masa ini, kita belum dapat memastikan sama ada persetujuan akan gagal dicapai pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49.
“Presiden masih mahu rundingan itu dimuktamadkan semasa Filipina menjadi Pengerusi ASEAN,” kata Castro.
Beliau berkata demikian susulan laporan bahawa COC mungkin tidak dapat dimuktamadkan pada Sidang Kemuncak Pemimpin ASEAN yang akan datang.
Ketika ditanya mengenai status terkini rundingan bagi menghasilkan COC yang mengikat dari segi undang-undang dan berkesan, Castro enggan memberikan butiran lanjut sambil berkata Jabatan Hal Ehwal Luar lebih sesuai untuk menjelaskan perkara itu.
“Saya tidak diberi kuasa untuk mendedahkan butiran mengenai perkara ini, jadi marilah kita menunggu dan berharap agar hasil yang lebih baik dapat dicapai,” katanya.
Walaupun terdapat ketidakpastian mengenai pemuktamadan perjanjian itu, Castro menegaskan bahawa pentadbiran Marcos masih menaruh harapan.
“Setiap hari, kita harus terus berharap,” kata Castro.
Marcos menzahirkan harapan agar COC di Laut China Selatan yang mengikat dari segi undang-undang dapat dimuktamadkan menjelang akhir 2026, dengan Filipina berusaha memajukan rundingan ketika mempengerusikan blok serantau itu.
-- BERNAMA-PNA