RABAT: Bandar purba Marrakesh di Maghribi mula menerima kedatangan semula pelancong, lebih seminggu selepas gempa bumi kuat yang meragut ribuan nyawa, lapor Agensi Anadolu (AA).

"Ramai pelancong kini melawat kebanyakan monumen bersejarah di bandar ini," kata pemandu pelancong Mohammad al-Rouweisi.

Beliau berkata pasukan keselamatan memasang penghadang di sekitar bangunan dan tembok yang rosak di Marrakesh sebagai langkah keselamatan untuk penduduk dan pelancong.

Gempa bumi itu adalah yang paling kuat melanda Maghribi dalam tempoh seabad, menurut Institut Geofizik Kebangsaan negara itu.

Kira-kira 3,000 orang terbunuh dan 6,125 cedera dalam gempa bumi berukuran 7 pada skala Richter yang melanda pada 8 Sept.

Gegaran itu menyebabkan kerosakan kepada beberapa tapak pelancongan dan bersejarah di Marrakesh, Tapak Warisan Dunia UNESCO dan bandar-bandar lain di Maghribi.

Antara tapak yang mengalami kerosakan di Marrakesh ialah kawasan bandar lama yang dikenali sebagai Madinah dan tembok purba serta lorong sempit, dataran dan pasar Jemaa el-Fna yang terkenal di dunia, dan menara Kotoubia.

-- BERNAMA