Skip to main content

Dunia

Masa depan Teluk “tanpa AS”, pengurusan Hormuz tingkat kestabilan – Pemimpin Agung Iran

Sumber: X/Rahbarenghelab_
Khamenei berkata, Iran akan memastikan keselamatan di Teluk melalui apa yang disifatkannya sebagai pengurusan baharu Selat Hormuz, termasuk rangka kerja perundangan yang dikemas kini.

ISTANBUL: Pemimpin Agung Iran berkata pada Khamis bahawa masa depan Teluk adalah "tanpa kehadiran Amerika Syarikat (AS)", sambil menegaskan, kerangka perundangan dan pengurusan baharu bagi Selat Hormuz akan membawa kestabilan serta manfaat ekonomi kepada rantau itu, lapor  Anadolu Ajansi (AA).

Dalam satu kenyataan bertulis yang dikeluarkan oleh pejabatnya sempena Hari Kebangsaan Teluk Parsi, Mojtaba Khamenei berkata, kehadiran kuasa asing, khususnya Amerika Syarikat, telah menjadi punca ketidakstabilan di rantau itu dan menambah bahawa "fasa baharu sedang muncul."

Advertisement

Beliau berkata, Teluk merupakan bahagian penting dalam identiti serantau dan kesalinghubungan ekonomi global, terutamanya melalui Selat Hormuz dan Laut Oman.

Khamenei berkata, Iran akan memastikan keselamatan di Teluk melalui apa yang disifatkannya sebagai pengurusan baharu Selat Hormuz, termasuk rangka kerja perundangan yang dikemas kini.

“Rangka kerja ini akan membawa kestabilan, kemajuan dan manfaat ekonomi bagi semua negara di rantau ini," katanya.

Pemimpin Agung itu berkata, negara-negara serantau berkongsi nasib yang sama di Teluk dan aktor luar "dari beribu-ribu kilometer jauhnya" tidak mempunyai tempat dalam masa depannya.

Mesej itu turut merujuk kepada apa yang disifatkan sebagai "orde serantau baharu" yang muncul daripada perkembangan terkini.

Kenyataan itu dikeluarkan di tengah-tengah ketegangan yang memuncak susulan peperangan yang bermula pada 28 Feb antara Iran dengan Amerika Syarikat dan Israel, yang telah mengganggu aliran perkapalan serta tenaga melalui Selat Hormuz.

Gencatan senjata yang diumumkan pada 8 April setakat ini masih bertahan, manakala usaha diplomatik diteruskan untuk mencapai perjanjian yang lebih luas, termasuk perbincangan mengenai akses maritim dan keselamatan di Selat Hormuz.

Iran menetapkan 30 April sebagai Hari Kebangsaan Teluk Parsi pada 2005, bagi memperingati pengusiran tentera Portugis dari Selat Hormuz semasa era Safavid.

Mojtaba Khamenei dipilih sebagai pemimpin agung pada 9 Mac susulan kematian bapanya, Ayatollah Ali Khamenei dalam serangan AS-Israel pada 28 Feb. Sejak memegang jawatan, beliau hanya berkomunikasi melalui kenyataan bertulis.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video