Mat Sabu selar tindakan beberapa negara Islam sertai Perjanjian Abraham

Mohamad berkata tindakan tersebut hampir melemahkan moral umat Islam berbanding negara-negara berideologi kiri dan bukan Islam yang lebih lantang menentang Israel. - Gambar/ Astro AWANI
SHAH ALAM: Adalah menyedihkan apabila beberapa negara Islam menandatangani Perjanjian Abraham bagi menormalisasi hubungan dengan Israel, kata Datuk Seri Mohamad Sabu.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu berkata tindakan tersebut boleh melemahkan moral umat Islam.
Katanya, langkah negara Islam terbabit jelas berbeza berbanding negara-negara berideologi kiri dan bukan Islam yang lebih lantang menentang Israel.
“Kita menyaksikan satu perbandingan ketara, negara-negara di luar dunia Islam malah tiada kaitan dengan agama atau sejarah Palestin mengambil pendirian bertentangan dengan memutuskan hubungan dagang dan diplomatik dengan Israel.
“Tindakan ini seharusnya membuka mata kita (umat Islam),” katanya ketika menyampaikan ucap tama di Persidangan Antarabangsa Penyatuan Umat Islam dan Palestin di sini hari ini.
Mohamad yang juga Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) turut menyatakan kekaguman terhadap masyarakat di Eropah yang berdemonstrasi dengan jumlah yang besar tanda solidariti terhadap rakyat Palestin.
Aksi mereka wajar untuk mendorong umat Islam bermuhasabah dan menaikkan semangat perlawanan terhadap kekejaman rejim Zionis Israel yang telah berlaku lebih 70 tahun, ujar Mohamad.
“Selama lebih dua tahun, rakyat Eropah bangkit menyatakan solidariti bersama Palestin. Saya sendiri telah pergi ke sana sebanyak tiga kali untuk menyaksikan demonstrasi di Eropah,” katanya.
Beliau turut mengulangi gesaan agar negara-negara Islam memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel sebagai langkah paling kecil yang dapat dilakukan untuk melemahkan rejim Zionis.
“Bagaimana kita menterjemahkan iman, kemarahan dan keprihatinan kepada hasil yang bermakna? Sekurang-kurangnya, negara-negara Islam mesti memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel,” katanya.
Pada masa sama Mohamad turut mengesyorkan agar penyatuan umat Islam harus melangkaui mazhab dan bangsa untuk mengenal musuh sebenar iaitu Israel.
Beliau turut menyambut baik usaha NGO pro-Palestin seperti Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menganjurkan persidangan bertemakan penyatuan umat Islam sebagai strategi untuk menyedarkan orang ramai mengenai situasi di Palestin.
“MAPIM memainkan peranan di antaranya, membawa isu Palestin ini ke arah penyatuan umat daripada pelbagai kaum, negara, mazhab dan sebagainya agar kita kenal musuh bersama,” katanya ketika ditemui pemberita semasa sidang media di acara yang sama.
Antara yang hadir di persidangan tersebut ialah Tunku Mariam Zaharah Sultan Iskandar; Senator Datuk Mujahid Yusof; Bekas Menteri Luar, Tan Sri Hamid Albar dan Presiden MAPIM, Azmi Abd Hamid.
Malah, delegasi antarabangsa turut hadir termasuk Ketua Seksyen Konsular, Kedutaan Negara Palestin, Amjad Khamaysa; Kaunselor Kebudayaan, Pusat Kebudayaan Iran, Habibreza Arzani; dan Setiausaha Agung, World Forum for Proximity of Islamic Schools of Thought (WFPIST), Hamid Shahriari.
Sejak 7 Oktober 2023, jumlah korban di Semenanjung Gaza meningkat kepada 71,455 orang susulan serangan berterusan rejim Zionis Israel ke atas penduduk Palestin.
Sementara itu, sejak perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa pada 11 Oktober 2025, serangan Israel dilaporkan telah meragut 463 nyawa serta mencederakan 1,269 individu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


