LONDON: Mayat manusia ditemukan di kawasan pergunungan San Gabriel Amerika Syarikat, lokasi pelakon Britain Julian Sands dilaporkan hilang kira-kira lima bulan yang lalu, lapor Agensi Berita (dpa) Jerman.

Jabatan Syerif Daerah San Bernardino berkata pendaki telah menghubungi pihak berkuasa pada Sabtu pagi, berhubung penemuan mayat di kawasan Mount Baldy itu.

Mayat telah dibawa ke Pejabat Koroner, sementara menunggu proses pengecaman, menurut jabatan itu.

Proses pengecaman dijangka diselesaikan minggu depan dan selepas itu jabatan akan mengeluarkan kenyataan.

Sands, 65, tidak pulang selepas melakukan aktiviti pendakian pada 13 Jan lalu, di kawasan Gunung Baldy di pergunungan yang terletak di selatan California .

Pelakon itu terkenal dengan wataknya dalam filem A Room With A View, Leaving Las Vegas dan Warlock serta penampilannya dalam siri televisyen 24, Smallville dan Banshee.

Penemuan mayat itu sejurus selepas keluarganya mengeluarkan kenyataan dan berterima kasih kepada pasukan mencari dan menyelamat.

Menurut Jabatan Syerif walaupun mayat Sands tidak ditemukan semasa misi mencari dan menyelamat pencarian pada 17 Jun, kes itu masin dibuka.

Pencarian berdepan kekangan akibat cuaca buruk di kawasan itu dan dihentikan pada Mac kerana risiko runtuhan salji.

Lapan misi mencari melalui darat dan udara telah dilakukan termasuk usaha mencari oleh sukarelawan selama lebih 500 jam.

Jurucakap jabatan syerif sebelum ini berkata matlamatnya adalah "untuk memberikan penyelesaian" kepada keluarga Sands.

-- BERNAMA