Nelson MandelaMayat mendiang pemimpin pembebasan Afrika Selatan, Nelson Mandela akan dibawa berarak selama tiga hari berturut-turut di beberapa batang jalan raya di Pretoria minggu depan.

"Setiap pagi, apabila mayat itu dibawa untuk penghormatan negara, jalan raya yang terlibat akan dibuka kepada umum," kata jurucakap kerajaan, Neo Momodu.

Mayat Mandela akan ditempatkan di Union Buildings yang menjadi ibu pejabat kerajaan Afrika Selatan pada Rabu, Khamis dan Jumaat.

Penghormatan negara itu adalah sebahagian daripada acara yang disusun bagi memperingati bekas presiden itu yang meninggal dunia pada Jumaat.

Pada Isnin ini, Parlimen Afrika Selatan akan mengadakan satu sidang khas bagi menghormati legasi Mandela.

Keesokan harinya, satu majlis peringatan akan diadakan di sebuah stadium di Soweto yang boleh memuatkan 90,000 orang.

Majlis peringatan itu akan dihadiri oleh pemimpin-pemimpin dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama dan dua bekas presiden, Bill Clinton dan George W. Bush.

Stadium itu menjadi hos kepada Piala Dunia 2010 dan merupakan tempat Mandela muncul buat kali terakhir di khalayak ramai.

Mandela akan dikebumikan pada 15 Disember ini di kampung halamannya di Qunu, sebuah bandar di Eastern Cape. -- Agensi