Skip to main content

Dunia

Media kerajaan Iran kongsi video lama Pemimpin Tertinggi ketika spekulasi kesihatan terus memuncak

[TB]_Supreme Leader Mojtaba Khamenei_Iranian state media
Rakaman tanpa tarikh menunjukkan Mohammad Mojtaba Khamenei muncul buat kali pertama sejak dilantik sebagai Pemimpin Tertinggi Iran pada Mac lalu susulan pembunuhan bapanya, Ali Khamenei.
Advertisement

TEHRAN: Media kerajaan Iran menyiarkan sebuah video tanpa tarikh yang memaparkan Pemimpin Tertinggi Iran, Mohammad Mojtaba Khamenei, buat kali pertama sejak beliau dilantik memegang jawatan itu pada Mac lalu selepas bapanya, Ali Khamenei, terbunuh pada permulaan perang Iran.

Sejak pelantikannya, Mojtaba belum pernah muncul di khalayak ramai dan hanya menyampaikan mesej kepada rakyat menerusi kenyataan yang disiarkan media kerajaan.

Rakaman terbaharu itu menunjukkan beliau menyampaikan kuliah kepada sekumpulan individu dan dipercayai dirakam sebelum tercetusnya perang.

Bagaimanapun, media yang menyiarkan video tersebut tidak mendedahkan bila rakaman itu dibuat.

Ketiadaan maklumat mengenai tarikh rakaman serta sebab ia didedahkan ketika ini dijangka menimbulkan lebih banyak persoalan berhubung lokasi sebenar dan keadaan kesihatan Mojtaba.

Antara media yang menyiarkan rakaman tersebut ialah Mehr, sebuah agensi berita separa rasmi yang dianggap mempunyai hubungan rapat dengan institusi Pemimpin Tertinggi Iran. 

Namun, video itu tidak disiarkan secara meluas oleh saluran media Iran yang lain.

Sumber yang bercakap kepada CNN ketika pemilihan Mojtaba sebagai Pemimpin Tertinggi sebelum ini mendakwa, beliau mengalami patah tulang pada bahagian kaki serta luka ringan di wajah pada hari pertama kempen pengeboman Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran.

Bagaimanapun, tiada sebarang tanda kecederaan dapat dilihat pada Mojtaba dalam rakaman yang baru disiarkan itu. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement