Skip to main content

Malaysia

Warga Singapura cuba seludup dadah lebih RM1.5 juta diberkas di LTSAS

Mohd Alwi (kanan) menunjukkan gambar suspek yang ditahan susulan penemuan dadah disyaki jenis ganja pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak hari ini.  - Foto Bernama
Mohd Alwi (kanan) menunjukkan gambar suspek yang ditahan susulan penemuan dadah disyaki jenis ganja pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak hari ini. - Foto Bernama

Ringkasan AI

  • Polis menahan seorang lelaki warga Singapura dan merampas 19.04 kg ganja di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh, Ahad lalu.
  • Suspek dipercayai diperdaya sindiket melalui tawaran kerja membawa bagasi ke London dengan upah SG$4,000, namun bagasi mengandungi dadah.
  • Dadah bernilai RM1.52 juta itu boleh menjejaskan 47,900 pengguna dan suspek direman tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Advertisement

IPOH: Polis menahan seorang lelaki warga Singapura dan merampas dadah berjumlah 19 kilogram (kg) yang cuba diseludup di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini, Ahad lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata anggota polis LTSAS mengesan lelaki berusia 29 tahun yang tidak bekerja, membawa sebuah bagasi dalam keadaan mencurigakan semasa menjalankan pemeriksaan bagasi penumpang di kaunter daftar masuk.

Beliau berkata suspek dijadualkan menaiki penerbangan dari Ipoh ke Singapura sebagai lokasi transit, sebelum meneruskan perjalanan ke London, England.

Advertisement

“Hasil pemeriksaan lanjut terhadap bagasi tersebut telah menemukan 36 bungkusan plastik lutsinar yang mengandungi ketulan daun kering disyaki dadah jenis bunga ganja, dianggarkan seberat 19.04 kg dengan nilai pasaran berjumlah RM1.52 juta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini, hari ini.

Mohd Alwi berkata hasil ujian air kencing yang dijalankan mendapati suspek negatif dadah dan tidak mempunyai rekod lampau.

Advertisement

Beliau berkata dadah yang dirampas boleh merosakkan sebanyak 47,900 orang yang mengunakannya dan dipercayai memperoleh bekalan dadah tersebut daripada sindiket di Kajang, Selangor.

“Hasil siasatan awal mendapati, suspek menemukan satu tawaran pekerjaan melalui laman sesawang, yang menjanjikan bayaran upah lumayan sebanyak SG$4,000 (RM12,687) untuk membawa bagasi yang didakwa mengandungi barangan tiruan berjenama mewah, ke London.

“Modus operandi dipercayai digunakan oleh sindiket tersebut adalah dengan memperdayakan individu melalui tawaran pekerjaan dengan upah yang mahal dan memperalatkannya sebagai keldai dadah, untuk membawa bekalan dadah ke luar negara melalui penerbangan komersial dengan menyembunyikan dadah di dalam bagasi penumpang bagi mengelakkan daripada dikesan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Mohd Alwi berkata suspek datang dari Kajang ke Ipoh dengan menaiki perkhidmatan e-panggilan pada Sabtu dan menginap di sebuah hotel di Ipoh.

Beliau berkata suspek direman selama tujuh hari bermula semalam, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kejayaan rampasan dadah ini, yang kedua terbesar tahun ini di Perak yang merupakan hasil risikan berterusan oleh pihak JSJN serta kerjasama daripada orang awam. Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan pengedaran dadah, memiliki, mengedar atau melindungi aktiviti dadah," katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement