LONDON: Duchess of Sussex, Meghan Markle berkongsi rakaman istimewa yang memperlihatkan kehidupan keluarganya bersama Putera Harry dan dua anak mereka, Archie serta Lilibet, selepas keluarga Sussex kembali menetap di United Kingdom (UK), sekali gus memberikan gambaran jarang dilihat mengenai kehidupan mereka jauh daripada perhatian umum.
Video berdurasi 34 saat itu, yang diiringi lagu Wake Me Up Before You Go-Go nyanyian kumpulan Wham!, memaparkan Meghan dan Harry berjalan di laluan desa sebelum Meghan berpaling dan berkata, “come on, you”.
Rakaman tersebut turut disertakan dengan emoji bendera UK dan hati, selain memaparkan anak mereka, Archie, berlari ke arah sekumpulan rusa manakala adiknya, Lilibet, menunggang basikal.
Satu lagi rakaman menunjukkan Harry memancing bersama kedua-dua anak mereka di tepi sungai, ditemani anjing peliharaan keluarga itu yang berjalan di sepanjang tebing air.
Perkongsian itu merupakan kali pertama Meghan menampilkan keluarganya di ruangan utama Instagram sejak pasangan Sussex kembali ke UK selepas beberapa tahun menetap di California, Amerika Syarikat.
Tidak dapat dipastikan bila dan di mana rakaman tersebut dibuat, namun beberapa babak menunjukkan keadaan cuaca lembap dan hujan, termasuk sepasang but getah yang memijak lopak air serta Archie dan Lilibet yang turut memakai kasut kalis air ketika menghampiri kawasan rusa.
Perkongsian berkenaan memberikan gambaran yang jarang dilihat mengenai kehidupan Archie yang kini berusia tujuh tahun dan Lilibet yang berusia lima tahun.
Walaupun Meghan sesekali memuat naik gambar atau video anak-anaknya di media sosial, wajah mereka lazimnya tidak didedahkan dan dirakam dari belakang atau dilindungi oleh ibu bapa mereka.
Selain aktiviti luar, video itu turut memaparkan suasana santai keluarga berkenaan di dalam rumah, termasuk rakaman kaki seorang kanak-kanak di hadapan unggun api.
Bulan lalu, jurucakap pasangan Sussex tidak mengesahkan ketibaan mereka ke UK, namun memaklumkan bahawa anjing peliharaan mereka, Mia dan Pula, turut dibawa bersama.
Seekor Labrador hitam yang dipelihara pasangan itu sejak beberapa tahun lalu juga kelihatan beberapa kali dalam video berkenaan.
Putera Harry dan Meghan mengumumkan pengunduran mereka sebagai anggota kanan keluarga diraja Britain pada 2020 sebelum memulakan kehidupan baharu di Amerika Syarikat.
Pasangan itu tidak akan kembali menjalankan tugas rasmi diraja, namun dijangka menetap di Britain sebagai anggota keluarga diraja yang tidak menjalankan tugas rasmi.
Mereka dipercayai akan menetap di sebuah kediaman persendirian di kawasan Cotswolds, di luar London, manakala Archie dan Lilibet dilaporkan telah didaftarkan di sebuah sekolah di negara itu.
Minggu lalu, jurucakap Putera Harry dan Meghan berkata pasangan itu terkejut selepas menerima sepucuk surat yang dihantar bagi pihak Raja Charles III yang menjelaskan status mereka sebagai anggota diraja bukan bekerja akan terus dikekalkan.
Menurut jurucakap tersebut, pasangan berkenaan “agak terkejut kerana tidak dimaklumkan lebih awal” mengenai perkara itu.
Surat yang dihantar bagi pihak Raja Charles III itu turut menegaskan, Harry dan Meghan masih tidak dibenarkan menggunakan gelaran “His Royal Highness” (HRH) dan “Her Royal Highness” (HRH), selain kekal sebagai warganegara persendirian.
Penjelasan itu disampaikan menerusi surat yang dihantar oleh Lord Chamberlain, pegawai kanan Istana Buckingham, bagi memperincikan kedudukan rasmi pasangan Sussex dalam institusi diraja Britain. - Agensi