Skip to main content

Dunia

Memo pentadbiran Trump perluas kuasa ICE terhadap sebahagian pelarian - Laporan

TB_Police ICE Pemangku Ketua Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE), Todd Lyons, mengesahkan kehadiran jabatan itu ketika Amerika Syarikat (AS) bertindak sebagai tuan rumah perlawanan Piala Dunia pada musim panas ini. -STADIUM ASTRO
Pentadbiran Trump mengeluarkan satu memo dalaman yang memperluaskan kuasa Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) untuk menahan pelarian tertentu yang  diterima masuk secara sah, dengan alasan kebimbangan keselamatan negara. - Foto fail

ANKARA: Pentadbiran Trump mengeluarkan satu memo dalaman yang memperluaskan kuasa Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) untuk menahan pelarian tertentu yang  diterima masuk secara sah, dengan alasan kebimbangan keselamatan negara, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik laporan CBS News.

CBS melaporkan ia memperoleh memo bertarikh 18 Feb 2026 yang ditandatangani oleh Pemangku Pengarah ICE Todd Lyons dan Pengarah Perkhidmatan Kerakyatan dan Imigresen Amerika Syarikat Joseph Edlow.

Advertisement

Dokumen itu difailkan di mahkamah persekutuan pada hari yang sama sebagai sebahagian daripada saman yang sedang berjalan bagi mencabar dasar imigresen yang serupa.

Arahan itu terpakai kepada pelarian yang sudah berada di Amerika Syarikat tetapi belum memperoleh status pemastautin tetap setahun selepas ketibaan.

Undang-undang persekutuan mewajibkan pelarian memohon kad hijau dalam tempoh itu.

Menurut memo berkenaan, pelarian yang tidak menjadi pemastautin tetap menjelang tempoh setahun mesti kembali ke tahanan kerajaan untuk semakan kes dan pemeriksaan keselamatan tambahan.

Mereka perlu hadir secara sukarela untuk pemeriksaan semula atau berdepan risiko ditangkap dan ditahan jika gagal mematuhi arahan.

Memo itu tidak diumumkan secara rasmi atau diterbitkan di laman sesawang rasmi Jabatan Keselamatan Dalam Negeri atau ICE dan DHS belum mengesahkan atau menafikan kesahihannya secara terbuka.

Dasar itu diperkenalkan ketika ICE berdepan kritikan susulan peningkatan belanjawan baru-baru ini serta kematian dua warga Amerika Syarikat semasa operasi penguatkuasaan, yang mencetuskan bantahan dan gesaan baharu untuk kebertanggungjawaban.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video