JOHANNESBURG: Polis Afrika Selatan menahan anak bongsu bekas Presiden Zimbabwe, mendiang Robert Mugabe, atas dakwaan cubaan membunuh selepas satu insiden tembakan di sebuah kediaman mewah di pinggir bandar Hyde Park, Johannesburg.
Bellarmine Mugabe, 28, ditahan selepas seorang lelaki berusia 23 tahun, dipercayai tukang kebun di kediaman tersebut, ditembak dan mengalami kecederaan parah.
Advertisement
Mangsa kini dirawat di hospital dan dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.
Menurut jurucakap polis, Kolonel Dimakatso Nevhuhulwi, pihak penyiasat menemui beberapa kelongsong peluru di lokasi kejadian, namun tidak menemui senjata api yang digunakan.
“Suspek tidak memberitahu di mana pistol itu berada. Mereka enggan berkata apa‑apa mengenai senjata tersebut,” katanya dalam sidang media di luar rumah berkenaan.
Selain Bellarmine, seorang lagi lelaki turut ditahan sebagai sebahagian daripada siasatan.
Kedua‑dua suspek dijangka dihadapkan ke mahkamah dalam masa terdekat.
Walaupun polis belum menamakan secara rasmi individu yang ditahan, wartawan yang berada di tempat kejadian melihat Bellarmine bergari, dan namanya telah dilaporkan secara meluas oleh media tempatan.
Bellarmine Mugabe ialah anak kepada Robert Mugabe dengan isteri keduanya, Grace Mugabe.
Robert Mugabe memerintah Zimbabwe selama 37 tahun sebelum digulingkan pada 2017, dan meninggal dunia pada 2019.