KUALA LUMPUR: Dinamika yang berlaku dalam Perikatan Nasional (PN) akan memberi sedikit keuntungan kepada parti politik dalam Kerajaan Perpaduan.
Ketua Pegawai Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar mengambil contoh faktor perpecahan dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) melibatkan pemecatan Datuk Seri Hamzah Zainudin selaku Timbalan Presiden dan kekosongan jawatan Pengerusi PN.
Advertisement
“Kekuatan tidak sama seperti mana mereka memenangi sokongan yang didapati dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu,” katanya semasa wawancara Dialog Tiga Penjuru bertajuk: Bersatu Kini Berpecah? bersama Astro AWANI pada Khamisi.
Tambahnya, sebelum ini segmen pengundi muda dan undi 18 di kerusi majoriti Melayu merupakan bank undi untuk PN kerana Barisan Nasional (BN) melalui UMNO dan Pakatan Harapan tidak dapat menarik undi mereka.
Namun beliau berpendapat sikap segmen tersebut bakal menjadi tumpuan memandangkan pengundi muda telah meningkat usia pada PRU16 yang berbaki kurang daripada 20 bulan akan datang.
“Dengan pertikaian ataupun pergaduhan dalaman ini, apakah sikap atau pandangan pengundi ini terhadap parti yang telah mereka berikan undi ketika PRU lalu?
“Adakah mereka kekal undi seperti mana dalam PRU15 ataupun dengan (akibat) polemik yang berlaku, ingin menukar sokongan mereka,” katanya.
Tambahnya, perkembangan politik yang berlaku menjelang PRU akan datang membuka peluang kepada kerusi segmen majoriti Melayu untuk diintai dalam kalangan semua parti politik sama ada di pihak pembangkang atau kerajaan.
“Sebagai contoh, PN sudah terpecah maka Bersatu mungkin akan bertembung dengan Pas dan akan bertembung dengan BN, serta berdepan dengan PH yang diwakili Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Keadilan Rakyat serta Parti Pejuang,” kata Hisommudin lagi.
Pada 13 Februari, Lembaga Disiplin Bersatu bertindak memecat Hamzah beserta tiga lagi Ahli Parlimen parti itu.
Pada keesokannya 19 Ahli Parlimen Bersatu berkumpul dan menyatakan Deklarasi Kuala Lumpur mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur daripada jawatan Presiden Bersatu.
Susulan tindakan tersebut beberapa Ahli Parlimen Bersatu beserta ketua bahagian bertindak meletakkan jawatan dalam parti tersebut.
Manakala, Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyatakan jawatan Pengerusi PN akan diumumkan pada Ahad depan.
Sebelum ini, Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatan selaku Pengerusi berkuat kuasa 1 Januari lalu.