NEW DELHI: India dan Sri Lanka pada Sabtu membincangkan dua saluran kredit India bernilai US$1.5 bilion untuk membantu Sri Lanka mengatasi masalah kewangannya dengan segera.

Perkara itu dibincangkan dalam pertemuan maya antara Menteri Hal Ehwal Luar India Subrahmanyam Jaishankar dan Menteri Kewangan Sri Lanka Basil Rajapaksa.

"Kedua-dua menteri itu menilai semula kemajuan dalam melanjutkan kemudahan kredit India sebanyak AS$1 bilion untuk mengimport makanan, barangan keperluan dan ubat-ubatan dan AS$500 juta untuk mengimport bahan api dari India," kata kementerian luar India.

Jaishankar memberitahu menteri itu Sri Lanka bahawa India akan terus menyokong Sri Lanka "dalam semua cara yang mungkin untuk mengatasi cabaran ekonomi dan lain-lain" yang muncul disebabkan pandemik COVID-19.

New Delhi sudah pun menawarkan pertukaran mata wang AS$400 juta kepada Colombo dan menangguhkan penyelesaian Asian Clearing Union (ACU) sebanyak AS$515.2 juta selama dua bulan.

Rajapaksa semasa lawatannya ke New Delhi pada Disember meminta bantuan kewangan dari India kerana negaranya sedang menghadapi krisis kewangan dan kemanusiaan yang semakin meruncing.

Menteri Sri Lanka itu mengadakan pertemuan dengan Jaishankar, Menteri Kewangan Nirmala Sitharaman, Menteri Petroleum Hardeep Singh Puri dan Penasihat Keselamatan Negara Ajit Kumar Doval semasa lawatannya bulan lepas.

-- BERNAMA