KUANTAN: Seorang lelaki yang ditemukan maut di hadapan lobi utama Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini hari ini disahkan bukan pesakit yang sedang menerima rawatan di hospital berkenaan mahupun kakitangannya.
Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) dalam kenyataan memaklumkan lelaki dewasa itu ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri kira-kira pukul 10 pagi.
Menurut kenyataan itu, pasukan perubatan dari Jabatan Kecemasan dan Trauma HTAA bergegas ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan sebelum mengesahkan lelaki berkenaan telah meninggal dunia.
Katanya pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama pegawai penyiasat turut berada di lokasi bagi menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu.
“Selepas pemeriksaan awal dan proses dokumentasi selesai, mayat dihantar ke Jabatan Forensik HTAA untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu.
JKNP turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan.
“JKNP turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dan waris si mati serta memohon agar privasi mereka dihormati sepanjang tempoh siasatan dijalankan,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA