Skip to main content

Dunia

Menteri Iran bertemu pengantara Pakistan ketika ketegangan AS-Iran memuncak

KONFLIK ASIA BARAT
Momeni mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif dan Menteri Dalam Negeri Mohsin Naqvi di Islamabad bagi membincangkan usaha damai.
Advertisement

ISLAMABAD: Menteri Dalam Negeri Iran Eskandar Momeni mengadakan pertemuan peringkat tinggi dengan pihak pengantara di Pakistan pada Selasa ketika usaha diplomatik untuk menamatkan ketegangan yang kembali memuncak antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran diteruskan, menurut pegawai, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Momeni mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif dan Menteri Dalam Negeri Mohsin Naqvi di Islamabad bagi membincangkan usaha damai.

Bagaimanapun, pertemuan paling penting beliau adalah dengan Ketua Tentera Pakistan Jeneral Asim Munir, yang memainkan peranan penting sebagai pengantara dalam rundingan bagi memorandum persefahaman (MoU) antara AS dan Iran pada Jun.

Momeni ialah pegawai kanan Iran pertama melawat Pakistan sejak MoU itu gagal dipertahankan dan Presiden AS Donald Trump mengumumkan gencatan senjata telah "berakhir" pada awal Julai.

Sejak beberapa hari kebelakangan ini, AS berulang kali melancarkan serangan ke atas Iran, manakala Republik Islam itu bertindak balas dengan menyerang negara yang menempatkan pangkalan tentera AS di rantau berkenaan.

Konflik itu kini mengancam untuk merebak ke Arab Saudi, sekutu utama Pakistan, selepas kumpulan Houthi di Yaman mengumumkan akan memulakan sekatan laut terhadap negara itu.

Islamabad sebelum ini memberi amaran bahawa sebarang serangan terhadap Arab Saudi akan dianggap sebagai serangan ke atas Pakistan.

"Pakistan sekali lagi mula memainkan peranan sebagai pengantara untuk menghalang konflik ini daripada merebak," kata seorang diplomat kepada dpa.

Butiran pertemuan Momeni tidak didedahkan serta-merta, namun satu sumber risikan berkata Pakistan mengaitkan usahanya dengan syarat bahawa Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) perlu mengumumkan pembukaan semula Selat Hormuz kali ini.

"Mereka berkemungkinan akan menghormatinya jika kenyataan itu datang daripada mereka sendiri," kata pegawai berkenaan.

IRGC didakwa melanggar MoU pada Jun -- yang diumumkan oleh Presiden Iran Masoud Pezeshkian -- apabila menyasarkan kapal yang melalui laluan yang tidak dibenarkan oleh pasukan itu di laluan sempit berkenaan.

-- BERNAMA-dpa

Must Watch Video

Advertisement