NEW YORK: Menteri Kesihatan Brazil, Marcelo Queiroga disahkan positif beberapa jam selepas menemani Presiden Jair Bolsonaro ke Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York, Amerika Syarikat.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan kerajaan Brazil, Queiroga akan menjalani proses kuarantin di bandar itu.

"Menteri Kesihatan dalam keadaan stabil.

"Ahli delegasi lain turut diuji dan keputusan mereka semuanya negatif," kata kenyataan itu.

Queiroga memberitahu CNN Brasil beliau sentiasa memakai pelitup muka sepanjang berada di dalam bangunan PBB itu.

Beliau merupakan delegasi Brazil kedua dikesan positif COVID-19 selepas seorang pegawai diplomatik didapati positif dan kini menjalani proses kuarantin.

Brazil mencatatkan lebih 590,000 kes kematian, negara kedua tertinggi di dunia selepas Amerika Syarikat.