Skip to main content

Dunia

Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich dilarang masuk Perancis

Israeli Prime Minister Benjamin Netanyahu speaks with Minister of Finance Bezalel Smotrich during the weekly cabinet meeting at the Defence Ministry in Tel Aviv, Israel, January 7, 2024. REUTERS/Ronen Zvulun/Pool
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu (kanan) berbual dengan Menteri Kewangan Bezalel Smotrich ketika mesyuarat mingguan Kabinet di Kementerian Pertahanan di Tel Aviv, Israel, pada 7 Januari 2024. - Gambar fail Reuters

PARIS/JERUSALEM: Perancis pada Selasa mengumumkan larangan kemasukan ke atas Menteri Kewangan Israel berhaluan kanan, Bezalel Smotrich sebagai sebahagian daripada tindakan sekatan bersepadu bersama beberapa negara berhubung keganasan peneroka terhadap rakyat Palestin.

Smotrich menjadi anggota kedua kerajaan Israel yang dilarang memasuki Perancis dalam beberapa bulan kebelakangan ini, selepas Menteri Keselamatan Negara, Itamar Ben Gvir, dikenakan sekatan sama pada 23 Mei lalu kerana memperlekeh aktivis yang ditahan tentera Israel dari flotila bantuan yang menuju ke Gaza.

Sebelum ini, United Kingdom, Australia, Kanada, New Zealand dan Norway telah mengenakan larangan perjalanan terhadap kedua-dua menteri berkenaan pada Jun tahun lalu atas dakwaan mencetuskan keganasan terhadap rakyat Palestin.

Beberapa negara lain turut mengambil tindakan sama, termasuk Sepanyol, Slovenia dan terkini Ireland.

Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot berkata, larangan ke atas Smotrich dibuat kerana beliau “secara aktif mempromosikan pengilhakan Tebing Barat, perkara yang diakui secara terbuka, selain menyokong pembinaan penempatan baharu di wilayah itu, penjajahan semula Gaza, serta menyumbang kepada keruntuhan ekonomi Pihak Berkuasa Palestin yang memberi kesan buruk kepada penduduk Palestin.”

“Ini merupakan dasar yang tidak boleh diterima oleh sebahagian besar komuniti antarabangsa yang komited terhadap penyelesaian dua negara,” katanya.

Perancis turut mengenakan larangan ke atas empat pemimpin organisasi peneroka serta 21 peneroka yang terlibat dalam keganasan.

Menurut Barrot, tindakan Perancis itu diselaraskan bersama United Kingdom, Kanada, Australia, Norway dan New Zealand bagi menyasarkan individu yang bertanggungjawab terhadap peningkatan aktiviti penempatan dan keganasan di Tebing Barat.

Kementerian Luar Israel bagaimanapun mengecam sekatan berkenaan sebagai “memalukan.”

Jurucakapnya, Oren Marmorstein berkata, langkah tersebut dilihat sebagai cubaan untuk memaksakan pendirian politik berkaitan hak orang Yahudi menetap di Tanah Israel serta konflik Israel-Palestin yang diselindungi sebagai tindakan menangani keganasan.

Norway pula memaklumkan, akan melaksanakan sekatan sama seperti yang diumumkan Kesatuan Eropah pada 28 Mei, termasuk larangan kemasukan terhadap “20 peneroka ganas”, tanpa mendedahkan identiti mereka.

Pada masa sama, United Kingdom turut mengambil tindakan terhadap rangkaian yang membiayai dan memudahkan serangan peneroka terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat, selain menggesa syarikat dan rakyatnya mengelakkan sebarang aktiviti kewangan di penempatan Israel yang dianggap tidak sah di sisi undang-undang antarabangsa.

Setiausaha Luar Britain, Yvette Cooper berkata, kumpulan peneroka ganas tidak seharusnya mendapat keuntungan daripada tanah yang dirampas daripada rakyat Palestin.

Beliau turut menyifatkan kecaman kerajaan Israel terhadap sebahagian keganasan peneroka sebagai tidak memadai memandangkan akauntabiliti yang dilihat masih terhad.

Menteri kontroversi

Ben Gvir dilantik sebagai menteri pada 2022 selepas pakatan dengan parti Zionis Agama pimpinan Smotrich memperoleh kedudukan ketiga dalam pilihan raya legislatif.

Bersama, Ben Gvir dan Smotrich menjadi tonggak utama kerajaan campuran berhaluan kanan pimpinan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu.

Sejak perang Gaza tercetus pada Oktober 2023 susulan serangan kumpulan Hamas ke atas Israel, Tebing Barat turut menyaksikan keganasan hampir setiap hari di wilayah yang diduduki Israel sejak 1967 itu.

Sekurang-kurangnya 1,080 rakyat Palestin terbunuh sejak itu, termasuk pejuang dan orang awam, menurut data pihak berkuasa kesihatan Palestin.

Dalam tempoh sama, sekurang-kurangnya 46 rakyat Israel, termasuk orang awam dan anggota keselamatan, terkorban dalam serangan Palestin atau operasi ketenteraan Israel.

Siasatan yang diberi mandat oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa menyatakan orang awam Palestin terperangkap antara “kekejaman besar-besaran” oleh tentera Israel, peneroka serta pemerintahan keras Hamas di Gaza.

Pengerusi suruhanjaya siasatan, Srinivasan Muralidhar berkata keganasan oleh peneroka merupakan kesan langsung daripada dasar Israel yang “menyokong, membolehkan dan melindungi tindakan mereka.”

Must Watch Video

Advertisement