DUNIA
Menteri Luar ASEAN puji usaha Malaysia sebagai pengantara gencatan senjata Kemboja-Thailand

Menteri-Menteri luar ASEAN menyambut baik hasil Mesyuarat Khas yang dihoskan oleh Perdana Menteri Anwar (tengah) selaku Pengerusi ASEAN bagi meredakan ketegangan antara Kemboja dan Thailand di sepanjang sempadan yang dipertikaikan. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Menteri-Menteri luar ASEAN menyambut baik hasil Mesyuarat Khas yang dihoskan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN bagi meredakan ketegangan antara Kemboja dan Thailand di sepanjang sempadan yang dipertikaikan.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis, para menteri memuji peranan Malaysia dalam memudah cara dialog dua hala yang membawa kepada gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand.
Mesyuarat Khas itu telah berlangsung pada Isnin di Putrajaya.
Mereka turut menyatakan keyakinan bahawa semangat muhibah yang ditunjukkan oleh Kemboja dan Thailand akan membawa kepada pelaksanaan sepenuhnya dan berkesan terhadap gencatan senjata serta semua keputusan Mesyuarat Khas."Kami menggalakkan Kemboja dan Thailand menyelesaikan isu ini secara damai mengikut undang-undang antarabangsa, selaras dengan prinsip yang termaktub dalam Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Piagam ASEAN, Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara, serta dalam semangat kekeluargaan ASEAN, perpaduan dan kejiranan baik.
"Kami berharap gencatan senjata yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak akan dilaksanakan sepenuhnya dengan niat yang ikhlas."
Para menteri turut menyuarakan sokongan mereka terhadap kesediaan Malaysia untuk menyelaras pasukan pemerhati yang terdiri daripada negara anggota ASEAN bagi mengesahkan dan memantau pelaksanaan gencatan senjata secara bebas.
Menteri-Menteri Luar ASEAN turut mengiktiraf peranan Amerika Syarikat (AS) dalam penganjuran bersama Mesyuarat Khas itu, di samping mengambil maklum penyertaan aktif China dalam menggalakkan penyelesaian damai terhadap situasi semasa.
Susulan mesyuarat itu, Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta bagi meredakan ketegangan di kawasan sempadan yang dipertikaikan.
Gencatan senjata itu yang berkuat kuasa lewat 28 Julai, secara berkesan menamatkan pertempuran yang tercetus sejak 24 Julai.
Kemboja dan Thailand mempunyai sejarah panjang pertikaian sempadan membabitkan kawasan sepanjang 817 kilometer yang masih belum diselesaikan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami