ISTANBUL: Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand pada Rabu mengetengahkan pelbagai cabaran global semasa Persidangan Pasca Menteri negara itu bersama ASEAN di ibu negara Filipina, Manila, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Menteri Luar Jepun Toshimitsu Motegi menyatakan sokongan terhadap perpaduan dan peranan teras ASEAN, sambil berkata Jepun mahu memperkukuh kerjasama dalam bidang yang mempunyai kepentingan bersama serta potensi besar, termasuk transformasi digital, kecerdasan buatan (AI) dan transformasi hijau.
Menteri Luar Korea Selatan Cho Hyun berkata gangguan terhadap rantaian bekalan global, ketidakstabilan di Asia Barat dan transformasi teknologi yang pesat sedang membentuk semula rantau itu, sekali gus mewujudkan peluang baharu serta risiko.
"Dengan memperkukuh semangat solidariti, kita dapat mengharungi ketidaktentuan dengan lebih baik, memperluas ruang strategik dan mewujudkan peluang baharu untuk rakyat kita," kata Cho.
Seoul sedang bekerjasama dengan ASEAN dalam beberapa inisiatif konkrit, termasuk inisiatif pendampingan kecerdasan buatan (AI) serta inisiatif industri budaya dan kreatif, katanya.
Menteri Luar New Zealand Winston Peters berkata dunia kini berdepan cabaran baharu yang unik, termasuk persaingan geostrategik yang semakin memuncak, cabaran terhadap sistem pelbagai hala berasaskan peraturan, kecerdasan buatan dan perubahan iklim.
"Perkongsian kita kekal sebagai kekuatan terbesar. Ia menjadi asas kepada kerjasama, kolaborasi, perkongsian pengetahuan dan kepakaran, perdagangan serta kemakmuran bersama," kata Peters.
Menteri Luar Australia Penny Wong berkata tahun ini merupakan "tahun yang mencabar" berikutan landskap strategik yang berubah, persaingan yang semakin sengit serta peningkatan risiko ketegangan dan salah percaturan.
"Impak penuh daripada kejutan yang berlaku tahun ini di Asia Barat, di rantau kita dan dalam ekonomi global masih lagi berkembang," katanya sambil menyatakan kesannya terhadap jaminan bekalan makanan dan tenaga, selain rantaian bekalan bahan api, baja dan pelbagai komoditi lain.
Australia akan terus menyokong inisiatif yang diterajui ASEAN bagi memperkukuh daya tahan ekonomi, termasuk Grid Tenaga ASEAN dan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN, kata Wong.
Beliau berkata sepanjang tahun lalu memperlihatkan sejauh mana negara-negara saling bergantung antara satu sama lain bagi menjamin keselamatan dan kemakmuran, sambil menegaskan bahawa peranan teras ASEAN serta kerjasama yang dijalinnya amat penting.
"ASEAN penting kepada Australia kerana, pada asasnya, ASEAN menjadi tunjang rantau ini - sebuah rantau tempat kita tinggal dan tempat masa depan dunia sedang dibentuk. ASEAN membina hubungan, membentuk peraturan dan memupuk daya tahan bersama," kata Wong.
-- BERNAMA-ANADOLU