Menteri Luar Turkiye bertemu delegasi Hamas di Ankara, bincang pelan damai Gaza

Menteri Luar Turkiye Hakan Fidan pada Rabu bertemu dengan delegasi Hamas yang diketuai Khalil al-Hayya, anggota Biro Politik Hamas, di Ankara, menurut Kementerian Luar Turkiye. - Foto REUTERS
ANKARA: Menteri Luar Turkiye Hakan Fidan pada Rabu bertemu dengan delegasi Hamas yang diketuai Khalil al-Hayya, anggota Biro Politik Hamas, di Ankara, menurut Kementerian Luar Turkiye.
Ringkasan AI
- Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan, bertemu dengan delegasi Hamas di Ankara bagi membincangkan perkembangan di Gaza dan fasa kedua pelan damai.
- Turkiye menegaskan sokongan kepada rakyat Palestin serta usaha membantu keperluan perumahan dan bantuan kemanusiaan di Gaza.
- Delegasi Hamas menyatakan kesilapan Israel dalam gencatan senjata, di mana bantuan kemanusiaan masih tidak mencukupi untuk keperluan mendesak di Gaza.
Fidan menegaskan bahawa Turkiye terus mempertahankan hak rakyat Palestin "dengan cara yang paling tegas di setiap platform," serta memaklumkan delegasi berkenaan usaha berterusan Turkiye untuk menangani keperluan perumahan dan menyalurkan bantuan kemanusiaan di Gaza yang musnah akibat serangan Israel di Semenanjung Gaza.
Delegasi Hamas pula menyatakan bahawa pihaknya telah memenuhi syarat gencatan senjata, namun Israel terus melancarkan serangan terhadap Gaza dan rakyatnya.
Menurut mereka, pendekatan itu bertujuan menghalang peralihan kepada fasa kedua pelan damai berkenaan.
Delegasi itu juga memaklumkan bahawa 60 peratus daripada trak yang dibenarkan masuk ke Gaza membawa barangan komersial, sambil menegaskan jumlah bantuan kemanusiaan yang memasuki enklaf itu masih tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan mendesak.
Mereka menekankan kekurangan berterusan, khususnya bagi keperluan asas, ubat-ubatan, bahan perlindungan dan bahan api.
Pertemuan itu turut membincangkan perkembangan dalam proses perdamaian antara puak Palestin serta situasi di Tebing Barat.
Dalam perbincangan tersebut, tindakan serta amalan Israel di Tebing Barat disifatkan sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


