BAMAKO: Pemimpin kerajaan tentera Mali, Assimi Goita, mengambil alih jawatan Menteri Pertahanan susulan pembunuhan penyandang sebelum ini yang terkorban dalam kebangkitan kumpulan pemberontak minggu lalu.
Saluran televisyen milik kerajaan, ORTM melaporkan pada Isnin bahawa Goita mengambil alih jawatan itu selepas kematian Sadio Camara dalam serangan berskala besar yang dilancarkan kumpulan berkait al-Qaeda, yang didakwa bekerjasama dengan pemisah Tuareg.
Advertisement
Laporan itu memetik satu Dekri Presiden yang menyatakan Assimi Goita akan kekal sebagai Presiden Mali sambil memegang jawatan baharu tersebut.
Dalam pada itu, Jeneral Oumar Diarra yang sebelum ini merupakan Ketua Turus Angkatan Tentera, dilantik sebagai Menteri Perwakilan di Kementerian Pertahanan.
Letupan bom kereta
Dalam serangan terhadap kubu kuat kerajaan tentera lebih seminggu lalu, Camara terbunuh akibat letupan bom kereta di kediamannya.
Kumpulan pemberontak bersenjata turut berjaya menawan bandar utama di utara, Kidal, dalam serangan terbesar di negara Afrika Barat itu dalam hampir 15 tahun.
Sekurang-kurangnya 23 orang dilaporkan terbunuh dalam pertempuran tersebut, dengan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) memaklumkan bahawa orang awam dan kanak-kanak turut terkorban serta cedera.
Mali bergelut dengan krisis keselamatan sejak sekurang-kurangnya 2012. Kumpulan Jama’at Nusrat al-Islam wal-Muslimin (JNIM) yang berkait al-Qaeda menguasai kawasan luas di luar bandar, khususnya di wilayah utara dan tengah, selain mempunyai sel aktif di sekitar ibu negara.
Dalam masa sama, kumpulan gabungan Daesh di Wilayah Sahel (ISSP) menguasai beberapa kawasan di timur laut bandar Menaka.
Turut beroperasi di utara negara itu ialah kumpulan pemisah Tuareg daripada Liberation Front for Azawad (FLA) yang memperjuangkan penubuhan sebuah negara merdeka dikenali sebagai Azawad.
Mereka berperang dengan angkatan tentera Mali serta tentera upahan Russia yang dikerahkan sejak 2021.
Bersama-sama JNIM, kumpulan tersebut menguasai Kidal dan menyasarkan bandar Gao – bandar terbesar di utara – selain Menaka dan Timbuktu, bagi melengkapkan wilayah negara Azawad yang diisytiharkan sendiri.
Kumpulan-kumpulan ini dilaporkan ada kalanya bekerjasama, beroperasi di kawasan yang sama serta merekrut pejuang daripada komuniti yang sama.
Dalam serangan terbaru yang meluas, JNIM dilaporkan berganding dengan FLA menentang tentera Mali.
Kerajaan tentera pimpinan Goita mengambil alih kuasa menerusi rampasan kuasa pada 2020 dan 2021 dengan janji memulihkan keselamatan, namun berdepan kesukaran untuk menunaikan komitmen itu.
Mali turut memutuskan hubungan dengan bekas penjajahnya, Perancis, serta mengusir pasukan tentera Perancis dan misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Pada Julai tahun lalu, pihak berkuasa tentera memberikan Goita, selaku pemimpin rampasan kuasa, mandat presiden selama lima tahun yang boleh diperbaharui “sebanyak mana yang perlu” tanpa pilihan raya.
Sebulan sebelumnya, Kumpulan Wagner dari Russia, yang membantu pasukan Mali memerangi kumpulan bersenjata sejak 2021, memaklumkan bahawa mereka akan menamatkan misinya.
Kumpulan itu kini dikenali sebagai Africa Corps dan berada di bawah kawalan langsung Kementerian Pertahanan Rusia.
Susulan serangan bulan lalu, pemberontak mengumumkan sekatan terhadap ibu negara, Bamako, sebagai tindak balas terhadap “sokongan penduduk kepada tentera.”
Namun, menurut wartawan agensi berita antarabangsa di bandar itu, sekatan berkenaan hanya berkesan sebahagiannya. - Agensi