Skip to main content

Malaysia

'Saya maafkan pakcik van yang langgar anak saya' - Bapa

SINAR HARIAN
Ahmad Fareez Khalid, 39, berkata, beliau dan keluarga menerima ketentuan tersebut dengan hati terbuka serta tidak menyalahkan pemandu van yang melanggar anaknya.

BATU PAHAT: “Untuk pakcik yang melanggar anak saya, saya sudah memaafkannya,"  kata bapa yang kehilangan anak perempuannya dalam kemalangan di hadapan Sekolah Kebangsaan Seri Maimon, Parit Sulong, di sini, semalam.

Ahmad Fareez Khalid, 39, berkata beliau dan keluarga menerima ketentuan tersebut dengan hati terbuka serta tidak menyalahkan pemandu van yang terlibat dalam kejadian berkenaan.

Advertisement

“Sesuatu yang berlaku sudah tentu ada ketetapan. Kalau hendak menyalahkan sesiapa pun tidak boleh… siapa yang mahu perkara ini terjadi?” katanya.

Beliau turut merayu orang ramai agar tidak terus menyalahkan pemandu terbabit kerana kejadian itu berlaku di luar jangkaan.

“Permintaan saya, janganlah marah kepada pakcik itu. Jika kami sebagai ibu bapa sudah reda, tidak perlulah orang lain terus menyalahkannya. Kasihanilah dia,” ujarnya.

Dalam kejadian tengah hari semalam itu, mangsa, Nur Aini Umairah Mohd Fareez, 8, dilaporkan maut selepas dilanggar sebuah van di hadapan pintu pagar sekolah berkenaan.

Sementara itu, ibu mangsa, Asmilah Tukiran, 37, berkata, kejadian tersebut berlaku hanya beberapa minit selepas dia terlewat mengambil anaknya.

“Saya terlewat beberapa minit sebelum melihat anak terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya.

Menurutnya, kelewatan itu disebabkan dia menguruskan anak bongsu, Ahmad Sufi Mohd Fareez, 5, yang baru pulang dari prasekolah sekitar jam 12.30 tengah hari.

Seperti kebiasaan, dia memandikan dan menukar pakaian anak bongsunya sebelum keluar semula untuk menjemput mangsa kira-kira 10 minit kemudian.

Namun, setibanya di hadapan sekolah, suasana bertukar cemas apabila orang ramai berkerumun di lokasi kejadian.

“Saya nampak orang ramai berkumpul dan terdengar murid menyebut nama ‘Aini’. Saya terus bertanya kepada guru sebelum dimaklumkan anak saya yang terlibat.

“Badan saya terus lemah dan saya tidak sanggup melihat jenazah kerana keadaannya parah,” katanya dalam nada sebak.

Tambahnya, sebelum ini beliau sentiasa mengingatkan arwah supaya menunggu di dalam kawasan pagar sekolah setiap kali tamat sesi persekolahan.

“Biasanya apabila saya tiba, barulah dia keluar. Namun hari itu saya tidak pasti mengapa dia berada di luar pagar, mungkin mahu membeli sesuatu,” katanya.

Mengimbas kenangan, Ahmad Fareez berkata, anaknya seorang yang ceria dan gemar bersolek, malah pernah meniru gaya solekan yang ditonton di YouTube.

“Kali terakhir arwah menyolek saya ketika kami membawanya berjalan-jalan ke Melaka minggu lalu. Itu menjadi kenangan terakhir kami,” katanya. - Sinar Harian/ Sinarplus

 

Must Watch Video