TOKYO: Jepun menyokong kemungkinan pelepasan rizab minyak secara terselaras oleh negara anggota Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), kata Menteri Industri Ryosei Akazawa pada Selasa, ketika peperangan AS-Israel terhadap Iran mencetuskan kebimbangan mengenai bekalan tenaga dan menyebabkan lonjakan harga minyak, lapor Kyodo News.
Jepun, yang sangat bergantung kepada Asia Barat untuk import minyak mentah, percaya bahawa pelepasan sedemikian adalah "alat yang berkesan ke arah menstabilkan pasaran global," kata menteri itu sebelum menghadiri mesyuarat maya menteri tenaga bagi negara perindustrian Kumpulan Tujuh (G7).
Advertisement
Menteri tenaga G7 mengesahkan yang mereka bersedia untuk mengambil segala langkah perlu, seperti menggunakan stok simpanan, bagi menyokong bekalan tenaga global, kata Akazawa kemudiannya pada hari yang sama.
Pengarah Eksekutif IEA Fatih Birol, yang turut menyertai perbincangan itu berkata dalam satu kenyataan yang mesyuarat luar biasa melibatkan kerajaan anggota IEA akan diadakan tidak lama lagi untuk "menilai keselamatan bekalan semasa dan keadaan pasaran bagi memaklumkan keputusan seterusnya sama ada akan menyediakan stok kecemasan negara anggota IEA kepada pasaran."
Rundingan peringkat menteri tenaga yang melibatkan ahli G7 iaitu Britain, Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, dan Amerika Syarikat, serta Kesatuan Eropah menyusul mesyuarat maya menteri kewangan kumpulan itu pada Isnin, di mana mereka membincangkan kemungkinan pelepasan rizab minyak secara terselaras.
Sama seperti yang dilakukannya semasa mesyuarat menteri kewangan, Birol berkata beliau memberikan kemas kini mengenai pandangan IEA terhadap situasi dalam pasaran tenaga global pada rundingan menteri tenaga itu, sambil menyatakan terdapat "risiko ketara dan semakin meningkat" bagi pasaran minyak.
Niaga hadapan minyak mentah baru-baru ini meningkat melebihi US$119 setong, paras tertinggi sejak Jun 2022, di tengah-tengah kebimbangan bahawa konflik di Asia Barat akan mengganggu bekalan.
Negara anggota IEA diwajibkan untuk memastikan mereka mempunyai rizab stok minyak yang setara dengan tidak kurang daripada 90 hari import bersih dan bersedia untuk bertindak balas secara kolektif terhadap gangguan bekalan yang teruk yang menjejaskan pasaran minyak global.
Menurut IEA, negara anggotanya, termasuk negara anggota G7, kini memegang lebih 1.2 bilion tong rizab minyak kecemasan awam. Amerika Syarikat dan Jepun secara gabungan menyimpan sebanyak 700 juta tong.
Dalam kes terbaharu, pelepasan rizab minyak yang diselaraskan oleh IEA berlaku pada 2022 bagi memastikan kestabilan pasaran minyak selepas Rusia melancarkan pencerobohan berskala penuh ke atas Ukraine.
-- BERNAMA-KYODO