BAITULMUQADDIS: Tentera Israel akan terus berada di zon keselamatan di Syria, Gaza serta selatan Lubnan untuk tempoh yang tidak ditetapkan, kata Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz.
Beliau berkata langkah itu adalah sebahagian daripada dasar yang dipersetujui bersama Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, lapor Al Jazeera.
Menurut Katz, mengekalkan kehadiran tentera di wilayah terbabit penting bagi melindungi sempadan serta komuniti Israel daripada ancaman luar.
“Ini merupakan pengajaran utama daripada peristiwa 7 Oktober. Kami menentang sebarang usaha pengunduran tentera dari Lubnan, meskipun berdepan tekanan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan rasmi.
Sejak konflik bersenjata tercetus pada 2023, tentera Israel menguasai kawasan seluas ratusan kilometer persegi di Gaza, Lubnan dan Syria, yang menurutnya perlu dikekalkan bagi menjamin keselamatan.
Kenyataan itu dilihat mencerminkan pendirian tegas Israel untuk tidak berundur dari kawasan konflik.