Skip to main content

Dunia

Mesir "oasis keselamatan" di Asia Barat - Presiden

 Abdel Fattah el-Sisi
Mesir berjaya menjadi “oasis keselamatan” di Asia Barat walaupun berdepan cabaran besar, kata Presiden Abdel Fattah El-Sisi. - Gambar fail/X

KAHERAH: Mesir berjaya menjadi “oasis keselamatan” di Asia Barat walaupun berdepan cabaran besar, kata Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi pada Sabtu, lapor Sputnik/RIA Novosti.

“Mesir memilih laluan pembangunan dan pembinaan, walaupun berdepan cabaran besar sepanjang sedekad lalu. 

Advertisement

"Mesir berjaya mengatasi krisis demi krisis dan mengekalkan kestabilan, sekali gus menjadi oasis keselamatan di Asia Barat,” kata presiden itu dalam ucapan video sempena ulang tahun ke-44 Hari Pembebasan Sinai.

Pemimpin Mesir itu turut menyatakan bahawa Terusan Suez mengalami kerugian kira-kira US$10 bilion akibat serangan terhadap kapal di Selat Bab el-Mandeb yang bermula pada penghujung 2023.

“Rantau Asia Barat sedang melalui tempoh yang kompleks dan getir. Mesir percaya bahawa laluan terbaik bagi masa depan rantau ini bukan melalui pendudukan, kemusnahan dan pertumpahan darah, sebaliknya melalui kerjasama dan keamanan untuk mencapai kestabilan,” katanya.

Hani Suleiman, setiausaha kamar hotel di Kesatuan Dewan Pelancongan wilayah Sinai Selatan berkata, kadar penginapan hotel di Sharm el-Sheikh ketika ini melebihi 80 peratus.

“Terdapat sedikit penurunan aliran pelancong akibat ketegangan di rantau ini, namun keadaan itu telah diatasi,” katanya.

Pada 28 Februari, Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan terhadap sasaran di Iran, menyebabkan kerosakan dan korban dalam kalangan orang awam.

Pada 7 April, Washington dan Tehran mengumumkan gencatan senjata selama dua minggu.

Rundingan susulan di Islamabad berakhir tanpa keputusan muktamad. 

Walaupun tiada pengumuman mengenai penyambungan semula permusuhan, AS mula melaksanakan sekatan terhadap pelabuhan Iran.

Pada Selasa, Presiden AS Donald Trump berkata, AS akan melanjutkan gencatan senjata dengan Iran sambil meneruskan sekatan itu.

Pada Rabu, beliau berkata, rundingan damai dengan Iran “berkemungkinan” diadakan dalam tempoh 36 hingga 72 jam akan datang.

-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

 

MESIR "OASIS KESELAMATAN" DI ASIA BARAT - PRESIDEN

 

Must Watch Video