Skip to main content

Malaysia

Seleweng dana RM230 juta: Reman timbalan yang dipertua NGO, pengarah syarikat disambung - SPRM

Seleweng Dana RM230 Juta: Reman Timbalan Yang Dipertua NGO, Pengarah Syarikat Disambung - SPRM -- kredit SPRM
SPRM Selangor  mendapat kebenaran untuk menyambung reman seorang timbalan yang dipertua sebuah badan bukan kerajaan dan seorang pengarah sebuah syarikat berkaitan penyelewengan dana NGO berjumlah kira-kira RM230 juta.

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor  mendapat kebenaran untuk menyambung reman seorang timbalan yang dipertua sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dan seorang pengarah sebuah syarikat berkaitan penyelewengan dana NGO berjumlah kira-kira RM230 juta.

Menurut sumber, perintah reman selama lima hari hingga 30 April ini terhadap dua individu dikeluarkan Timbalan Pendaftar, Faizah NorRanderan susulan permohonan dibuat oleh SPRM di Mahkamah Majistret Shah Alam pagi tadi, selepas tempoh reman terhadap kedua-dua individu terbabit tamat pada Sabtu.

Advertisement

Sebelum ini, dua individu berusia 50-an dan 60-an direman empat hari sejak Rabu lepas, dan susulan tangkapan itu, SPRM telah membekukan 33 akaun bank berjumlah kira-kira RM150 juta.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan dan kes disiasat di bawah Akta SPRM 2009.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, pihaknya mengenal pasti 40 saksi berkaitan siasatan kes terbabit, dengan setakat ini daripada tiga tangkapan dilakukan dua direman dan 11 saksi dirakam keterangan bagi siasatan kes itu.

SPRM sebelum ini mengesahkan kes berkenaan melibatkan penyelewengan kira-kira RM230 juta daripada sumbangan orang awam dan bukan dana zakat.

Azam berkata, siasatan mendapati NGO itu menerima dana daripada pelbagai sumber termasuk komisen daripada kutipan tertentu untuk disalurkan kepada golongan memerlukan.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video