SEKINCHAN: Festival Sawah Padi Sekinchan 2026 terus mengukuhkan kedudukan Selangor dalam usaha menarik kehadiran pelancong tempatan serta antarabangsa ke negeri ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, penganjuran festival ikonik itu bukan sahaja memperkenalkan produk pelancongan tempatan, tetapi juga memperkukuh sektor agropelancongan yang semakin berkembang pesat di negeri itu.
Advertisement
“Selangor kini memberi penekanan kepada pelancongan berasaskan alam sekitar dan pertanian, yang menjadi nadi pembangunan di Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA).
“Sektor pelancongan di Sabak Bernam menunjukkan peningkatan lebih 30 peratus hasil pelbagai program dan usaha berterusan dalam memperkenalkan keunikan kawasan ini,” katanya dalam ucapan perasmian festival itu, di sini, pada Sabtu.
Turut hadir Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Ng Suee Lim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI), Datuk Saipolyazan M Yusop.
Mengulas mengenai pengenalan Fi Kelestarian mulai tahun ini, Amirudin berkata, kutipan itu akan disalurkan semula bagi menaik taraf kemudahan awam seperti tandas, selain membangunkan semula kawasan terjejas akibat bencana seperti banjir.
Menerusi cukai itu, kerajaan negeri, katanya, komited untuk menyediakan keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan kualiti hidup termasuk aspek pendidikan, rekreasi, kesejahteraan serta kemudahan ibadah.
Festival Sawah Padi Sekinchan anjuran Tourism Selangor dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan rakan strategik swasta itu tampil dengan konsep lebih segar dan dinamik pada edisi kali ini.
Buat julung kali, festival diadakan dari petang hingga ke malam, selaras dengan trend pelancongan masa kini yang menekankan pengalaman waktu malam dengan pengunjung berpeluang menikmati panorama matahari terbenam yang indah di hamparan sawah, sebelum menyertai pelbagai aktiviti menarik.
Antara tarikan utama ialah Larian Sawah Padi yang berjaya menarik lebih 1,000 peserta dengan menawarkan pengalaman unik berlari dalam suasana senja di kawasan sawah.
Selain itu, festival makanan yang menampilkan lebih 35 vendor di bawah PLATS Selangor menyediakan pelbagai hidangan tempatan berkonsep santai dan rehat minda.
Pelbagai aktiviti turut disediakan termasuk tayangan wayang pacak, lawatan berpandu, perkhidmatan tram dan bas Hop-On Hop-Off percuma, saringan kesihatan, permainan tradisional, konsert, sesi audio siar, program voluntourism serta cabutan bertuah.
Festival itu dijangka menarik kira-kira 15,000 pengunjung, sekali gus memperkukuh reputasi Sekinchan sebagai destinasi agropelancongan yang wajib dikunjungi di Malaysia.
-- BERNAMA