KAHERAH: Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi, membuat rayuan terbuka kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, agar segera menamatkan peperangan di Iran dan rantau Teluk.
Bercakap pada majlis perasmian persidangan tenaga Egypes hari ini, Abdel Fattah el-Sisi menegaskan bahawa Washington memegang pengaruh mutlak dan merupakan satu-satunya pihak yang mampu menghentikan konflik tersebut.
Advertisement
“Saya beritahu Presiden Trump: Tiada siapa boleh hentikan perang di rantau Teluk ini melainkan kamu,” kata Abdel Fattah el-Sisi, di sini, hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan ketika Mesir, bersama Pakistan dan Turkiye, sedang giat memainkan peranan sebagai perantara bagi meredakan ketegangan antara Tehran dan Washington yang kini mengancam kestabilan ekonomi global.
Sebagai sekutu rapat AS di Asia Barat, Mesir amat bimbang terhadap kesan peperangan itu, terutamanya gangguan kepada laluan perdagangan di Terusan Suez serta lonjakan harga tenaga yang memberi tekanan kepada ekonomi domestik.
Abdel Fattah el-Sisi turut memberi amaran bahawa sekiranya konflik tersebut berlarutan, ia bakal membawa bencana kemanusiaan dan ekonomi yang lebih besar bukan sahaja kepada rantau itu, malah kepada seluruh dunia.
Sebelum ini, beberapa siri rundingan tidak langsung telah diusahakan oleh pihak perantara, namun Tehran setakat ini menolak sebarang perbincangan terus selagi tuntutan kedaulatan mereka di Selat Hormuz tidak diiktiraf.