KUALA LUMPUR: Meta Platforms bersetuju membayar maksimum AS$16.68 bilion dan melaksanakan perubahan besar terhadap Facebook serta Instagram bagi menyelesaikan tuntutan oleh beberapa negeri di seluruh Amerika Syarikat (AS) yang mendakwa syarikat itu mereka bentuk platform berkenaan untuk menyebabkan ketagihan dalam kalangan kanak-kanak, mengelirukan pengguna mengenai keselamatannya serta mengumpul data peribadi kanak-kanak secara tidak wajar.
Menurut Reuters, penyelesaian itu melibatkan tuntutan yang dikemukakan oleh 29 negeri di AS dan akan menamatkan perbicaraan di mahkamah persekutuan, antara yang paling berprofil tinggi setakat ini membabitkan dakwaan bahawa syarikat media sosial memudaratkan pengguna muda.
Meta akan mengenakan had penggunaan harian dan mengehadkan penggunaan pada waktu malam bagi kanak-kanak yang menggunakan Facebook dan Instagram, selain meningkatkan langkah bagi menghalang mereka daripada mengakses kandungan yang dihadkan mengikut umur.
Syarikat yang berpangkalan di Menlo Park, California itu menafikan melakukan sebarang salah laku ketika bersetuju mencapai penyelesaian berkenaan.
Penyelesaian pada Rabu itu turut menyelesaikan saman oleh California, Illinois, New Mexico dan Washington, D.C. berhubung tuntutan privasi berkaitan skandal Cambridge Analytica, apabila firma perunding berkenaan mengumpul data peribadi jutaan pengguna Facebook. Negeri-negeri berkenaan akan menerima AS$459.3 juta bagi menyelesaikan saman itu.
Saham Meta meningkat 2.3 peratus pada awal dagangan.
Tuntutan berkenaan merupakan sebahagian daripada gelombang litigasi yang lebih meluas oleh negeri, kerajaan tempatan, daerah sekolah dan individu yang mendakwa Meta serta syarikat media sosial lain memburukkan krisis kesihatan mental belia di seluruh negara.
Perbicaraan di mahkamah persekutuan di Oakland, California merangkumi tuntutan oleh California, Colorado, Kentucky dan New Jersey yang mendakwa Meta melanggar undang-undang negeri masing-masing berkaitan perlindungan pengguna.
Perbicaraan itu turut merangkumi tuntutan daripada 29 negeri yang mendakwa Meta melanggar Akta Perlindungan Privasi Dalam Talian Kanak-Kanak persekutuan dengan mengumpul data peribadi daripada pengguna yang diketahui Meta merupakan kanak-kanak tanpa memaklumkan atau mendapatkan persetujuan ibu bapa, selain menggunakan data berkenaan untuk melatih model pembelajaran mesin dan kecerdasan buatan (AI) generatif.
Meta, Snapchat dan syarikat induknya Snap, YouTube dan syarikat induknya Alphabet serta TikTok dan syarikat induknya ByteDance masih berdepan ribuan saman di mahkamah persekutuan dan negeri berhubung dakwaan bahawa mereka secara sedar mereka bentuk platform masing-masing dengan ciri yang menyebabkan ketagihan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, sekali gus memburukkan krisis kesihatan mental.
Kes-kes di mahkamah persekutuan itu disatukan untuk dikendalikan di hadapan Hakim Mahkamah Daerah AS Yvonne Gonzalez Rogers di Oakland dan merangkumi saman yang dikemukakan oleh individu, daerah sekolah serta kerajaan negeri.
-- REUTERS