NEW YORK/SAN FRANCISCO: Meta Platforms Inc merancang melaksanakan gelombang pertama pemberhentian pekerja secara besar-besaran pada 20 Mei ini, dengan pemotongan tambahan dijangka menyusul, menurut tiga sumber yang mengetahui perancangan berkenaan.
Pemilik Facebook dan Instagram itu dijangka memberhentikan kira-kira 10 peratus tenaga kerja globalnya, melibatkan hampir 8,000 pekerja, dalam pusingan awal berkenaan, kata salah seorang sumber.
Advertisement
Menurut sumber sama, syarikat itu turut merancang pemotongan lanjut pada separuh kedua tahun ini, namun butiran termasuk tarikh dan jumlah pekerja terlibat masih belum dimuktamadkan.
Perancangan tersebut juga berkemungkinan disemak semula bergantung kepada perkembangan keupayaan kecerdasan buatan (AI), tambah sumber berkenaan.
Bulan lalu, Reuters melaporkan, Meta merancang pengurangan sekurang-kurangnya 20 peratus daripada keseluruhan tenaga kerjanya di seluruh dunia.
Bagaimanapun, Meta enggan mengulas mengenai masa atau skop pemberhentian pekerja yang dirancang.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mark Zuckerberg kini membelanjakan ratusan bilion dolar bagi pelaburan dalam teknologi AI, susulan usaha menyusun semula operasi dalaman syarikat secara menyeluruh berasaskan teknologi itu — satu trend yang turut dilihat dalam kalangan syarikat utama Amerika Syarikat, khususnya sektor teknologi, tahun ini.
Amazon.com sebelum ini mengurangkan kira-kira 30,000 pekerja korporat, hampir 10 peratus daripada tenaga kerja kolar putihnya, manakala syarikat teknologi kewangan Block memotong hampir separuh kakitangannya pada Februari lalu.
Dalam kedua-dua kes, pihak pengurusan mengaitkan langkah itu dengan peningkatan kecekapan hasil penggunaan kecerdasan buatan.
Menurut laman penjejakan pemberhentian pekerjaan teknologi, Layoffs.fyi, seramai 73,212 pekerja telah kehilangan pekerjaan setakat ini tahun ini, berbanding 153,000 orang sepanjang tahun 2024.
Pemberhentian pekerja Meta tahun ini dijangka menjadi yang terbesar sejak penstrukturan semula pada akhir 2022 dan awal 2023, yang digelar sebagai “tahun kecekapan”, apabila syarikat itu memotong kira-kira 21,000 jawatan.
Ketika itu, saham Meta merosot teruk dan syarikat berdepan kesukaran menyesuaikan pertumbuhan pesat era pandemik COVID-19 yang akhirnya didapati tidak mampan.
Kali ini, Meta berada dalam kedudukan kewangan yang lebih stabil, namun pihak pengurusan membayangkan masa depan dengan lapisan pengurusan lebih kecil serta kecekapan lebih tinggi menerusi penggunaan pekerja dibantu AI.
Saham Meta meningkat 3.68 peratus sejak awal tahun ini, meskipun masih berada di bawah paras tertinggi yang dicapai pada musim panas tahun lalu.
Pada 2025, syarikat itu menjana lebih AS$200 bilion pendapatan dan mencatat keuntungan sekitar AS$60 bilion, walaupun perbelanjaan besar dalam bidang AI.
Meta yang berpangkalan di Menlo Park, California, mempunyai hampir 79,000 pekerja setakat 31 Disember lalu, menurut pemfailan terkininya.
Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, Meta turut menyusun semula pasukan dalam bahagian Reality Labs serta memindahkan jurutera dari pelbagai unit ke organisasi baharu dikenali sebagai “Applied AI”, yang ditubuhkan bagi mempercepat pembangunan ejen AI yang mampu menulis kod serta melaksanakan tugasan kompleks secara autonomi.
Salah seorang sumber memaklumkan, sebahagian kakitangan turut akan dipindahkan ke unit Meta Small Business, yang ditubuhkan bulan lalu, sebagai sebahagian daripada proses penstrukturan semula syarikat. - Reuters