Skip to main content

Bisnes

Ketidakpastian geopolitik pacu peralihan daripada kecekapan kepada daya tahan - Amir Hamzah

iMF_BERNAMA
Amir Hamzah (kanan) menyertai perbincangan “Masa Depan Integrasi Ekonomi dalam Dunia yang Berpecah-Belah” pada Mesyuarat Musim Bunga (mesyuarat tahunan pertama) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Kumpulan Bank Dunia 2026 di Washington DC, Amerika Syarikat. - Gambar Bernama

Negara-negara sedang beralih daripada model ekonomi yang dipacu kecekapan kepada daya tahan berikutan ketidakpastian geopolitik yang semakin meningkat membentuk semula landskap ekonomi global termasuk strategi perdagangan dan pelaburan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, selama beberapa dekad, pengembangan ekonomi global telah disokong oleh kestabilan geopolitik, membolehkan perniagaan mengoptimumkan operasi dan memaksimumkan kecekapan.

Advertisement

Bagaimanapun, beliau berkata, apabila keadaan geopolitik menjadi semakin sukar untuk diramalkan dan perniagaan bersaing untuk meletakkan semula diri mereka, pendekatan sedemikian tidak lagi memadai.

“Apabila persaingan ini mula berubah dengan lebih rancak,dan pihak-pihak terlibat bersaing dengan negara lain untuk meletakkan kedudukan secara berbeza, kecekapan pada tahap paling ekstrem tidak lagi menjadi pilihan.

“Saya berpendapat bahawa kita telah beralih daripada era tepat pada waktunya kepada mekanisme persediaan luar jangka.

“Oleh itu, peranan setiap negara sebenarnya adalah untuk memastikan pemetaan dilakukan dalam kawasan masing-masing (dalam konteks ini, ia bermaksud mengenal pasti sumber, rantaian bekalan, atau kekuatan di peringkat domestik/serantau)”, katanya.

Amir Hamzah merupakan ahli panel dalam sesi bertajuk “Masa Depan Integrasi Ekonomi dalam Dunia yang Berpecah-Belah” pada Mesyuarat Musim Bunga (mesyuarat tahunan pertama) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Kumpulan Bank Dunia 2026 di Washington DC, Amerika Syarikat.

Sesi itu disiarkan secara langsung di laman web IMF pada jam 2 pagi waktu Malaysia hari ini.

Beliau berkata, kerajaan di setiap negara kini menumpukan pada pengukuhan keupayaan teras dan kapasiti domestik untuk memastikan daya tahan lebih baik terhadap kejutan luaran.

Amir Hamzah berkata, pandemik COVID-19 mendedahkan kelemahan ketara dalam rantaian bekalan global terutamanya dalam bidang kritikal seperti vaksin, peralatan perubatan dan sokongan penjagaan kesihatan.

Pada masa sama, beliau memberitahu, setiap negara sedang mengembangkan libat urus luarannya dengan membina perkongsian baharu dan membuka saluran perdagangan tambahan untuk mengelakkan terlalu bergantung pada satu sumber, membolehkan ekonomi kekal berdaya suai apabila gangguan berlaku.

Amir Hamzah berkata, meskipun terdapat peralihan ke arah pengaturan dua hala, asas-asas yang menyokong pertumbuhan ekonomi global, termasuk kejelasan, kestabilan dan peraturan libat urus ditetapkan, harus terus menjadi tumpuan hubungan antarabangsa.

Dari perspektif Malaysia, beliau menambah bahawa peralihan ke arah membina daya tahan melalui kapasiti domestik lebih kukuh, rantaian bekalan pelbagai dan hubungan perdagangan lebih luas telah berlaku sebelum pandemik tetapi ia telah dipercepatkan apabila negara memajukan aspirasinya untuk menjadi negara berpendapatan tinggi.

Beliau berkata, ia melibatkan menarik industri yang lebih kompleks terutamanya dalam sektor elektrik dan elektronik, pada masa sama mengukuhkan rantaian bekalan tempatan untuk memastikan daya tahan lebih baik terhadap gangguan.

Amir Hamzah berkata, usaha juga tertumpu pada pembangunan pembekal domestik dan menarik pelaburan asing yang melengkapi ekosistem perindustrian sedia ada, membolehkan kesinambungan walaupun semasa tempoh tekanan luaran.

Sehubungan itu, beliau berkata, Malaysia mengutamakan kepelbagaian merentasi industri dan pasaran untuk mengukuhkan daya tahan ekonomi dan meningkatkan keupayaannya bagi menyesuaikan diri dengan keadaan global yang berubah-ubah.

Mengenai pendapatan asas sejagat, Amir Hamzah berkata, penerimaan dasar itu bergantung sebahagian besarnya pada tahap pembangunan dan kapasiti fiskal sesebuah negara dengan keutamaan diberikan kepada melindungi segmen masyarakat yang paling terkesan apabila sumber terhad.

Beliau berkata, bagi negara yang menghadapi kekangan fiskal, keutamaan segera adalah untuk melindungi kumpulan rentan, memastikan masyarakat dapat mengemudi perubahan ekonomi yang berterusan untuk mengekalkan perpaduan sosial semasa tempoh peralihan dan ketidakpastian.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video