MEXICO CITY: Kerajaan Mexico memfailkan tindakan undang-undang susulan kematian 17 rakyatnya yang dikaitkan dengan pihak berkuasa imigresen Amerika Syarikat (AS), lapor Anadolu Ajansi (AA).
Kementerian Luar memfailkan aduan jenayah kepada Jabatan Kehakiman AS dan pejabat pendakwa raya negeri berhubung kematian rakyat Mexico ketika berada dalam tahanan ejen Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) atau semasa operasi agensi itu.
Presiden Claudia Sheinbaum berkata pada sidang media Isnin bahawa tindakan undang-undang itu mula mendapat perhatian di AS dan Kementerian Luar telah membincangkan aduan berkenaan dengan Duta AS, Ron Johnson.
"Beliau memberikan maklum balas yang amat positif terhadap kebimbangan kami mengenai dakwaan pelanggaran hak asasi manusia terhadap lelaki dan wanita warga Mexico di pusat tahanan, serta kematian tiga rakyat Mexico ketika operasi ICE," kata Sheinbaum.
Aduan itu difailkan susulan pembunuhan Lorenzo Salgado Araujo oleh ejen ICE pada Selasa lepas.
Araujo yang menetap di AS sejak 30 tahun lalu, ditembak mati ketika dalam perjalanan ke tempat kerja selepas ejen ICE didakwa tersalah mengenal pasti beliau sebagai individu lain semasa satu pemeriksaan lalu lintas.
Sheinbaum menggesa seluruh rakyat Mexico bersatu menyokong aduan jenayah yang difailkan di AS dan menyeru semua rakyat negara itu memberi sokongan terhadap tindakan undang-undang berkenaan.
"Pada pandangan saya, perkara ini bukan sahaja melibatkan kerajaan Mexico, walaupun menjadi tanggungjawab kami untuk menuntut perlindungan terhadap nyawa serta hak asasi manusia rakyat Mexico di seluruh dunia, khususnya di Amerika Syarikat. Ia juga merupakan isu yang melibatkan seluruh rakyat Mexico," katanya.
-- BERNAMA-ANADOLU