Skip to main content

Dunia

Mexico pertimbang tindakan undang-undang terhadap Elon Musk kaitkan presiden dengan kartel dadah

41761701807_ElonMusk.jpg
Musk dilapor berkata, Sheinbaum "hanya mengatakan apa yang bos kartelnya suruh dia katakan". - Gambar fail

MEXICO CITY: Presiden Mexico Claudia Sheinbaum berkata pada Selasa kerajaannya sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap jutawan AS Elon Musk kerana mendakwa beliau mempunyai kaitan dengan kartel dadah, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Mexico menjadi perhatian global berikutan operasi ketenteraan pada Ahad yang membawa kepada kematian ketua kartel Jalisco Generasi Baru (CJNG) Nemesio Oseguera Cervantes alias “El Mencho,” dan gelombang keganasan yang berlaku di beberapa bahagian negara itu.

Advertisement

“Kami sedang mempertimbangkan sama ada untuk mengambil beberapa jenis tindakan undang-undang. Peguam sedang mengkajinya. Tetapi apa yang penting bagi saya ialah apa yang rakyat katakan, dan sebahagian besar orang awam mengiktiraf kerja pasukan tentera dan kerja yang kami lakukan setiap hari," kata Sheinbaum pada sidang akhbar hariannya.

Menerusi syarikat media sosialnya X, Musk berkata Sheinbaum "hanya mengatakan apa yang bos kartelnya suruh dia katakan" selepas sebuah video muncul semula di media sosial yang menunjukkan presiden itu mengkritik operasi Amerika Syarikat terhadap bot yang disyaki bot dadah.

“Apa yang penting bagi kami ialah rakyat Mexico, pendapat mereka, pengiktirafan mereka, kritikan mereka. Mendengar mereka dan sentiasa bertindak balas, terutamanya kepada mereka dalam kumpulan rentan,” kata Sheinbaum yang ditujukan kepada Musk.

Sejak kebangkitan parti pemerintah Morena pada 2018 dan pemilihan presiden ketika itu Andres Manuel Lopez Obrador, yang lebih dikenali sebagai AMLO, kerajaan Mexico telah berikrar untuk menjauhkan diri daripada konfrontasi tentera secara langsung terhadap jenayah terancang, strategi yang dilaksanakan semasa pentadbiran bekas Presiden Felipe Calderon pada 2006 yang dikenali sebagai “perang melawan dadah”.

“Pelukan, bukan peluru" ialah slogan AMLO untuk menjarakkan dirinya daripada strategi keselamatan awam pemimpin sebelumnya, yang menurut beberapa pengkritik dan penganalisis gagal membawa keselamatan kepada rakyat Mexico dan sebaliknya mengakibatkan peningkatan mendadak keganasan dan pengembangan kuasa jenayah.

Sejak itu, pengkritik AMLO dan kini Presiden Sheinbaum telah mengecam slogan dan strategi keselamatan parti pemerintah tersebut, menuduhnya mewujudkan tempat selamat untuk kartel dadah. Pembangkang politik Sheinbaum secara konsisten menuduhnya mempunyai hubungan dengan kartel kerana ketidakupayaan kerajaannya untuk membendung keganasan berkaitan kartel.

Komen Musk hadir selepas tamatnya pemerintahan hampir 30 tahun El Mencho ke atas satu daripada pertubuhan jenayah terbesar di hemisfera itu dan tindakan ganas didakwa yang dilakukan oleh anggota kartel terhadap pasukan keselamatan negara.

Secara keseluruhan, 30 anggota kartel dipercayai terbunuh dalam operasi hujung minggu bersama 25 pegawai Pengawal Kebangsaan dan seorang pengawal penjara.

“Dakwaan kerajaan narkotik yang tidak masuk akal ini, jika ia tidak masuk akal sebelum ini, sekarang lebih-lebih lagi. Ia runtuh di bawah bebannya sendiri. Mereka bahkan tidak tahu apa yang hendak dicipta lagi. Secara jujur, ia hampir menggelikan hati membacanya," tambah Sheinbaum.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video